Pengasuhan Positif

Mempertahankan Perkahwinan Dan Alam Remaja Anda

Apabila anda dan pasangan anda menjadi ibu bapa dan menyambut kehadiran seorang bayi dalam kehidupan anda, secara automatik tumpuan akan beralih daripada pasangan anda kepada si kecil. Tetapi apabila dia membesar dan beralih ke peringkat remaja, tidak mudah bagi anda untuk menerima hakikat bahawa anak anda sedang menjauhkan diri dari anda dalam mencari matlamat yang diingininya iaitu: kebebasan.

Walaupun ini tidak mewakili kesemua remaja, pencarian identiti diri dan kebebasan lazim berlaku melalui pengasingan sosial dan penentangan terhadap kewibawaan anda mengenai perkaraperkara berkaitan dengan kebebasan, peranan dan tanggungjawab mereka.

Sementara remaja anda semakin tertarik kepada kawan-kawannya dan berminat untuk mengalami kehidupan luar dari rumah, anda pula, semakin mengawasinya dengan rapi kerana bimbang kemungkinan dia terdedah kepada tingkah laku merbahaya dan bahaya-bahaya sosial.

Untuk menambahkan lagi tekanan dalam tempoh yang rumit ini, pertelingkahan mula berlaku di antara anda dan pasangan anda tentang sumbangan masing-masing sebagai ibu bapa, contohnya siapa patut mengawasi apa, atau kaedah yang sesuai untuk mendisiplin remaja anda.

Apabila konflik seperti ini kerap berlaku, rumah tangga menjadi tidak bahagia, dan si remaja, si suami dan si Isteri akan merasa disalah fahami.

Menjayakan perhubungan

Jika anda sedang mencari jalan untuk melalui tahun-tahun yang mencabar ini, berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu:

Menghadapi kebimbangan remaja

  1. Bantu remaja anda melalui proses pertumbuhannya dan cuba untuk tidak menyekat perubahan. Ingatlah bahawa anda juga pernah menjadi seorang remaja, oleh itu cuba untuk memahami apa yang sedang dilalui oleh anak anda.
  2. Galakkan anak anda berfikir sendiri dan bantu dia melalui persoalan tentang ‘bagaimana’ dan ‘mengap’ dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, jawapan yang diperoleh hendaklah jawapannya sendiri dan tidak terlalu dipengaruh oleh anda.
  3. Berikan lebih tanggung jawab yang sesuai bagi umur dan kebolehannya.
  4. Hormati privasi remaja anda. Beritahu dia bahawa anda mempercayainya. Tetapi, jika kepercayaan itu dikhianati, pastikan dia tahu bahawa kebebasannya dihadkan sehingga kepercayaan itu dapat dibina semula.
  5. Pilih pertengkaran anda. Fikir dua kali sebelum membantah kehendak remaja anda untuk membuat perubahan yang ekstrem pada gaya potongan rambut atau fesyen. Remaja anda mungkin hendak mengejutkan anda dengan perubahan drastik tetapi lebih baik membiarkan dia membuat sesuatu yang bersifat sementara dan tidak merbahaya. Simpankan bantahan anda untuk perkara-perkara yang lebih membimbangkan seperti merokok, minum arak atau mengambil dadah.

Hidupkan kasih sayang

  1. Jangan biarkan remaja anda menjadi tumpuan utama dalam hidup anda, tetapi berikan perhatian yang seimbang kepada pasangan dan anak anda. Banyak keretakan rumah tangga berlaku apabila pasangan gagal untuk mengasingkan tumpuan yang diberi kepada anak daripada yang diberi kepada hubungan mereka. Mereka juga mula mengambil kesempatan ke atas pasangan mereka apabila gagal berkomunikasi dan meluangkan masa untuk bersama.
  2. Buat semua keputusan keibubapaan bersama agar remaja anda tidak mengambil kesempatan atas percanggahan keputusan mengenai dirinya.
  3. Apabila timbulnya konflik melibatkan pengalaman antara jantina, seperti “anda tidak pernah melalui peringkat itu kerana anda bukan seorang budak perempuan!”, ingatlah bahawa pandangan kedua-dua orang ibu bapa adalah lebih baik daripada pandangan sebelah pihak apabila hendak memahami keadaan dan mengendali masalah tersebut.
  4. Cara mendisiplin siapakah yang betul?- Tiada kaedah yang betul atau salah. Anda berdua mempunyai latar belakang yang berbeza dan mungkin mempunyai idea mendisplin yang berlainan. Perkara utama dalam situasi sebegini ialah untuk mencapai kata sepakat bahawa salah laku tersebut mesti dihukum – kemudian mendapat persetujuan mengenai kaedah hukuman yang memenuhi nilai-nilai anda berdua.
  5. Jangan salahkan remaja anda atas konflik rumah tangga. Masalah rumah tangga lazimnya berpunca daripada kurangnya kemesraan antara suami dan isteri pada peringkat ini. Anda dan pasangan anda mungkin juga sedang melalui tekanan pertengahan umur. Apa yang anda boleh lakukan ialah uruskan hubungan rumah tangga anda dan berkomunikasi antara satu sama lain daripada menyalahkan remaja anda.

Hanya tinggal beberapa tahun lagi sahaja sebelum anak-anak anda meninggalkan rumah dan masuk kolej. Kemudian anda akan tinggal berdua sahaja. Oleh itu, mulakan dari sekarang and terus hidupkan kemesraan antara anda dan pasangan anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen