Pengasuhan Positif

Memenuhi Keperluan Pemakanan Anda Semasa Berpantang

Selepas menyambut kelahiran cahaya mata anda, perkara yang mungkin ada di benak fikiran anda ialah bagaimana memulihkan badan anda selepas melahirkan anak. Anda juga harus memberi tumpuan kepada makanan yang dapat membantu anda menghasilkan susu badan yang berkualiti untuk menyusukan bayi anda. Untuk mencapai objektif ini, ramai ibu-ibu di Malaysia masih mengikuti diet berpantang tradisional mengikut budaya masing-masing. Diet berpantang tradisional adalah selamat, asalkan anda tidak mengambil mana-mana kumpulan nutrien tertentu secara berlebihan. Ia akan membantu mengelakkan sebarang komplikasi.

Diet berpantang menumpu kepada pemulihan keseimbangan badan; dan boleh dicapai dengan memakan jenis makanan tertentu sementara mengelakkan jenis makanan yang lain. Diet berpantang pelbagai budaya mempunyai persamaan di mana mereka menggalakkan pengambilan makanan yang “memanaskan” badan. Makanan-makanan ini dipercayai boleh meningkatkan peredaran darah dan menguatkan sendi. Makanan yang “menyejukkan” tidak digalakkan kerana dipercayai boleh menyebabkan reumatisme, artritis dan melemahkan sendi dalam badan.

Memandangkan ketiadaan Saranan Pengambilan Nutrien (RNI) yang khusus bagi wanita dalam pantang, anda digalakkan untuk merujuk pada RNI Malaysia bagi wanita yang menyusu dalam tempoh enam bulan yang pertama selepas bersalin.

Keperluan Nutrien

Tenaga dan nutrien lain yang dihasilkan dalam susu ibu setiap hari sering melebihi pengambilan dalam nutrien yang disyorkan. Namun, wanita yang menyusu boleh menggunakan simpanan lemak yang terkumpul semasa kehamilan bagi membantu dalam penghasilan susu. Disebabkan oleh aspek penyusuan ini, penurunan berat badan secara beransur-ansur akan berlaku.

Tidak ada salahnya untuk mengamalkan diet berpantang mengikut budaya anda, asalkan anda tidak mengikut dengan melampau. Pastikan pengambilan anda mematuhi panduan RNI di atas, dan anda tidak perlu bimbang dari segi pemakanan. Adalah penting untuk memberi perhatian terhadap kekurangan vitamin, mineral serta serat kerana banyak jenis buah-buahan dan sayur-sayuran adalah dilarang makan. Tidak kiralah diet pantang mana yang anda ikuti semasa berpantang, asalkan anda makan setiap kumpulan makanan (bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, daging/ayam dan susu) dalam jumlah yang seimbang. Makan secara sederhana dan mempelbagaikan pengambilan makanan anda untuk mendapat semua nutrien yang anda perlukan.

nutrient_requirements_table_bm

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen