Pengasuhan Positif

“Macam Mana Dengan Saya, Ibu?”

Ketibaan ahli keluarga baru adalah berita baik bagi pasangan suami isteri. Namun, bagi si manja yang selama ini dibelai bagaikan menatang minyak yang penuh, kedatangan orang baru membawa banyak ketidakpastian. Bukan semua kanak-kanak suka memainkan peranan sebagai kakak atau abang, malah sesetengah mungkin merasa seperti dipinggirkan setelah dirinya tidak lagi menjadi tumpuan perhatian.

Pendek kata, tiada cara untuk mengetahui bagaimana reaksi anak anda. Sebagai ibu bapa, anda mahu hubungan yang intim antara anak anda dengan adik barunya. Anda perlu tahu langkah yang boleh diambil untuk mengekalkan keharmonian antara adik-beradik.

Perancangan Awal

Sebaik-baiknya, beritahu si manja dari awal lagi tentang kedatangan ahli baru dalam keluarga anda. Ini membantunya menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal berlaku. Sebelum bayi anda lahir, pastikan anda:

  • Beritahu si manja tentang adik barunya. Lebih awal anda memberitahunya, lebih banyak masa yang ada untuk menyediakan si manja untuk menerima kedatangan adiknya. Gunakan peluang ini untuk anda menjawab keraguannya dan menerangkan tentang peranan baru yang bakal digalas olehnya.
  • Libatkan si manja dalam persediaan untuk menyambut kehadiran adik baru. Anda boleh bersama-sama menghias bilik bayi dan memilih nama untuk adiknya. Cara ini membuat dia merasa seperti sebahagian daripada proses itu.
  • Kongsi pengalaman anda. Bawa dia bersama apabila anda ke klinik untuk menjalani pemeriksaan setiap bulan. Ini memberi peluang kepadanya untuk belajar dan melihat sendiri perkembangan adiknya. Bunyi degupan jantung anak baru anda dapat membuat si manja teruja dan mengubah perasaannya.
  • Terangkan kepadanya apa yang akan berlaku apabila bayi lahir. Beritahu si manja terlebih dahulu bahawa anda akan merasa letih dan adiknya akan mendapat lebih tumpuan perhatian kerana dia lebih kecil dan memerlukan lebih penjagaan. Terangkan bahawa buat permulaan, bayi yang baru lahir tidak boleh berbuat apa-apa selain makan, tidur dan menangis. Dengan memberikan idea yang realistik, anda dapat mengurangkan kejutan kelak.

Ketibaannya!

Walaupun anda sudah menyediakan si manja untuk menyambut ketibaan ahli keluarga baru, tingkah lakunya mungkin berubah selepas adiknya lahir. Ini adalah perkara biasa kerana kanak-kanak tidak tahu cara untuk mengawal perasaan mereka, lebih-lebih lagi apabila melihat ahli keluarga lain memberi perhatian yang lebih kepada bayi baru. Jangan risau, anak anda hanya perlukan sedikit masa untuk membiasakan diri.

  • Si Pembantu Handal anda. Libatkan si manja dalam penjagaan adik kecilnya. Sebagai contoh, minta bantuan si manja untuk mengambilkan lampin apabila anda menukar lampin bayi atau ‘tengok-tengokkan’ adiknya sementara anda ke bilik air. Penglibatannya akan membuat si manja terfikir bahawa dia masih penting dalam hidup anda.
  • Minta pendapatnya. Latih si manja untuk memainkan peranan barunya sebagai abang atau kakak. Mintanya membantu anda membuat keputusan dalam perkara yang membabitkan adiknya. Contohnya, beri peluang kepada anak anda memilih baju untuk si kecil apabila anda menyalin pakaian bayi.
  • Peka kepada perasaannya. Kadang-kadang si manja akan merasa kecewa, lebih-lebih lagi apabila anda tidak dapat meluangkan masa untuk bersama dengannya (contohnya, bila anda menyusukan bayi, si manja mahu bermain anak patung dengan anda). Dalam situasi seperti ini, faham perasaannya. Beritahu si manja bahawa anda tahu dia kecewa dan anda akan bermain dengannya selepas anda selesai menyusukan adiknya.
  • Luangkan masa berdua dengannya. Sewaktu bayi tidur, luangkan masa dengan si manja. Minta bantuan pasangan anda untuk menjaga bayi jika perlu. Dengan meluangkan masa untuk berdua dengannya, dia akan merasa dirinya istimewa dan disayangi.
  • Puji si manja. Berikan pujian kepadanya setiap kali anda melihat dia menunjukkan minat untuk membantu anda menjaga adiknya. Pujian yang disertakan dengan peluk cium memberi makna yang sangat besar.

Jangan Paksa Si Manja Menyukai Adiknya

Jangan bimbang jika si manja tidak berminat atau tidak mahu mengambil tahu tentang adiknya. Ini adalah reaksi biasa. Fasa “jangan pedulikan bayi itu” lazimnya hanya sementara. Sebaik-baiknya, jangka paksa si manja. Lamakelamaan dia sendiri akan berubah.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen