Pengasuhan Positif

Kongsi Tanda Kasih

  1. Kepercayaan adalah Asas Perhubungan.
  2. Kepercayaan bukan bermakna kesetiaan semata-mata. Ia juga bermakna meletakkan keyakinan kepada pasangan anda dan menghormati perwatakan, keupayaan dan komitmennya tanpa rasa khuatir anda akan dikhianati. Sebagai manusia, kita perlu mempercayai dan dipercayai, kita perlu berasa selamat dalam hubungan dengan orang yang kita kasihi.

  3. Tetapkan Peranan dan Tanggungjawab.
  4. Bahagikan kerja rumah, termasuklah pengurusan anak. Bincangkan cara perbelanjaan dan agihan pendapatan, lebih-lebih lagi jika suami dan isteri bekerja, dan kemudian tentukan siapa bayar untuk apa dan bagaimana menguruskan perbelanjaan. Kewangan adalah masalah utama yang menjadi punca keretakan perkahwinan. Apabila anda berdua sudah menetapkan peranan, tunaikan tanggungjawab masing-masing. Bagaimanapun, jangan bataskan peranan anda. Gangguan boleh menjejaskan rutin dan tugas yang dipersetujui sebelumnya. Jika pasangan anda memikul beban berlebihan, hulurkan bantuan. Begitu juga sebaliknya, mintalah bantuan jika anda memerlukan. Perkongsian adalah tanda kasih sayang.

  5. Kebertanggungjawaban.
  6. Kebertanggungjawaban bermakna anda mengakui kelemahan anda dan bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian. Tiada manusia yang sempurna. Kebertanggungjawaban bermakna mengakui kesilapan dan bersedia mengatasinya dengan cara proaktif.

  7. Bersatu.
  8. Ini bermakna anda tidak boleh memperkecil atau memperlekehkan hak dan kuasa satu sama lain, sekalipun jika anda tidak bersetuju dengan cara atau pendapat pasangan anda. Jangan berlumbalumba untuk mendapatkan perhatian anak kerana ini boleh mengelirukannya atau mengajarnya mempersoalkan anda, atau melaga-lagakan anda berdua. Melihat anda berdua bekerja sebagai satu pasukan akan membuat anak anda berasa selamat dan disayangi.

PERHATIAN!

  • Lelaki buat kerja rumah boleh bantu kurangkan kadar perceraian Menurut media Finland, Menteri Kebudayaan dan Sukan Finland, Stefan Wallin, mengingatkan lelaki supaya: “Lebih banyak tanggungjawab yang dipikul oleh bapa di rumah, semakin kuranglah perceraian.” Katanya lagi: “Ia saling berkait. Ia juga memerlukan perasaan saling hormat menghormati antara satu sama lain dan usaha untuk membuat hidup lebih menyenangkan bagi satu sama lain.”
  • Menurut penyelidikan, kanak-kanak yang membantu bapa mereka membuat kerja rumah lebih besar kemungkinan dapat menyesuaikan diri dalam pergaulan sosial dan menyedari nilai-nilai demokrasi dan kerjasama keluarga.

Kepimpinan Melalui Teladan Cara Terbaik Mendidik Anak

“Tiada yang lebih berpengaruh, lebih berkesan dalam hidup kanak-kanak selain daripada kuasa teladan.” William Bennett dalam The Book of Virtues

  • Tunjukkan Contoh Yang Baik. Anda patut menunjukkan sikap perihatin dan saling berkongsi antara satu sama lain. Bila anda menunjukkan kebaikan, empati, kasih sayang dan integiriti menerusi kata-kata dan tindakan anda sendiri, anak-anak akan meniru kelakuan anda.
  • Tunjukkan Rasa Saling Menghormati. Ibubapa yang menghormati satu sama lain, berkongsi tanggungjawab keluarga, dan menyelesaikan masalah mereka dengan cara baik pada hakikatnya menunjukkan contoh untuk diteladani oleh anak-anak. Jika anak-anak melihat perasaan saling menghormati diamalkan dalam keluarga, mereka juga akan menghormati orang lain, dan seterusnya dihormati oleh rakan sebaya mereka.
  • Ajar Budi Bahasa Yang Baik. Pastikan semua anggota keluarga menggunakan budi bahasa yang baik di rumah. Sopan santun dan budi bahasa yang baik adalah satu ‘kemestian’ dalam hidup kita. Segalanya bermula dari rumah.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen