Tahniah! Setelah menunggu selama sembilan bulan, kini si comel sudah berada dalam dakapan anda. Di samping sibuk memastikan bayi anda memulakan hidup dengan baik, anda harus juga menjaga diri sendiri setelah melalui pelbagai perubahan semasa mengandung, bersalin dan melahirkan anak. Walaupun telah selamat melahirkan anak, badan anda masih lagi melalui banyak perubahan untuk pulih dan menyiapkan anda untuk menghadapi cabaran yang baru iaitu menjaga bayi.
Dalam beberapa minggu pertama selepas bersalin, anda mungkin akan rasa tidak selesa serta sakit. Ini kerana badan anda berusaha kembali kepada keadaan asal seperti sebelum mengandung. Cuba perhatikan jika badan anda mempunyai simptomsimptom ini agar anda dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya. Buat sementara waktu ini, amalkan cara pemakanan yang sihat dan kekal aktif secara fizikal.
Jika boleh, jangan letakkan segala tanggungjawab kepada bidan atau ahli keluarga. Jika anda ingin melibatkan diri semula dalam perkara-perkara yang ditinggalkan semasa mengandung, maka anda perlu berdikari. Jangan bimbang; ketika dalam pemulihan, anda masih boleh bergembira dan bermesra dengan bayi anda. Lagipun, kegembiraan mendapat cahaya mata baru akan dapat melenyapkan segala kesusahan yang anda sedang lalui untuk pulih. Anda juga akan mendapati bahawa pemulihan yang baik selepas bersalin akan membantu anda mencapai kesihatan fizikal serta emosi yang berpanjangan.
Perubahan pada badan selepas bersalin
Badan anda akan mengalami pelbagai perubahan setelah bersalin. Namun, jangan terlalu bimbang kerana kesemua perubahan ini adalah normal. Berikut adalah beberapa perubahan yang mungkin akan terjadi pada diri anda:
- Rahim anda akan mengecil kepada saiz yang asal. Oleh sebab itu, anda mungkin akan merasa sakit di bahagian bawah abdomen selama beberapa hari. Jangan risau kerana ini menunjukkan bahawa badan anda sedang kembali pulih.
- Semasa 3-4 hari pertama selepas melahirkan anak, terdapat darah berwarna merah terang (juga dikenali sebagai lokia) yang akan keluar daripada faraj. Darah ini akan perlahan-lahan bertukar ke warna perang, dan kemudiannya kuning dalam masa 10-14 hari. Ini mungkin akan diikuti dengan haid anda.
- Perubahan hormon akan berlaku untuk menyediakan payudara anda untuk penyusuan ibu. Penambahan pengaliran darah mungkin menyebabkan payudara bengkak, menjadi keras dan hangat.
Menjaga diri selepas bersalin
Ada kemungkinan besar badan anda akan merasa lemah, sakit dan mengeluarkan darah selepas bersalin. Untuk menjaga diri anda dengan baik, ikutilah panduan berikut:
- Mandi dengan air suam untuk melegakan kesakitan dan mempercepatkan proses pemulihan. Sekiranya anda mempunyai jahitan, keringkan kawasan tersebut dengan betul selepas mandi.
- Pastikan yang anda selalu baring untuk mengurangkan tekanan ke atas jahitan.
- Pakai lampin wanita untuk menahan darah nifas. Elakkan pengunaan tampon kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan.
- Kerap tukar lampin wanita anda agar anda dapat memerhatikan warna darah nifas. Sekiranya ada yang luar biasa, segeralah berjumpa doktor.
- Jangan terlalu lasak, terutamanya jika anda baru selesai melalui pembedahan Caesarean. Minta pertolongan keluarga dan rakan-rakan untuk membuat kerja-kerja rumah semasa anda baru pulang ke rumah.
- Minumlah lebih air dan makan makanan berserat tinggi (contohnya buahbuahan dan sayur-sayuran) untuk menyenangkan anda membuang air besar tanpa sebarang masalah. Sekiranya anda terasa hendak membuang air besar, segeralah berbuat demikian. Jangan terlalu memaksa atau menolak.
- Elakkan dari memandu kenderaan sehingga sudah lebih 6-8 minggu.
- Amalkan senaman pelvis untuk mempercepatkan proses pemulihan dan ini menolong merampingkan badan. Senaman anda haruslah dilakukan dengan perlahan dan secara beransur-ansur. Berhenti serta-merta sekiranya anda merasa sakit atau penat. Anda boleh melakukan senaman ini bermula daripada hari pertama selepas bersalin. Tetapi bagi wanita yang baru melalui pembedahan Caesarean, pastikan anda merujuk kepada doktor sebelum melakukan sebarang senaman. Anda juga tidak boleh melakukan senaman perut sehingga dibenarkan oleh doktor.
- Jangan lupa menjalani pemeriksaan doktor dalam tempoh enam minggu selepas bersalin.
Rasa terkongkong?
Waktu berpantang boleh mencabar kesabaran dan ketenteraman ibu yang baru bersalin. Semasa berpantang atau pada minggu-minggu pertama selepas bersalin, anda tentunya akan mendapat banyak nasihat dan tunjuk ajar daripada nenek, emak, ibu mertua, makcik, saudara-mara dan kawan-kawan, terutamanya selepas bersalin anak sulong.
Mereka mungkin akan menasihatkan anda supaya “Jangan makan makanan yang ‘menyejukkan’ seperti nangka dan tembikai”, “Jangan membaca atau menonton TV” dan “Jangan minum air kosong selama 20 hari yang pertama, sebaliknya hanya minum wain beras (tanpa alkohol)”. Anda juga dinasihati untuk mengamalkan amalan berpantang seperti meminum sup herba dan tonik, berurut tradisional menggunakan batu panas (bertungku) atau membalut badan anda dengan pembalut herba yang ketat sambil berdiri di atas api.
Sebagai orang Asia, anda mungkin merasa ada perlunya untuk mengikuti adat-adat berpantang ini. Walaupun tidak ada asas saintifik untuk sesetengah kepercayaan ini, anda bolehlah mengikuti adat-adat ini selagi ia tidak memudaratkan kesihatan tubuh badan anda. Janganlah singkirkan makananmakanan yang penting dan bernutrien dari diet anda. Sesetengah dari amalan tradisional ini mungkin membahayakan anda, dengan itu praktikkan dengan betul, gunakan akal bestari dan amalkan dengan berhati-hati. Paling penting, anda seharusnya sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat dan memakan makanan yang pelbagai dan seimbang.
Komen