Semasa cuti bersalin, anda menghabiskan setiap saat menjaga bayi. Jadi, apabila sudah tiba masanya untuk kembali bekerja, hati anda mungkin terasa berat untuk meninggalkan bayi. Anda terpaksa menghadapi kerinduan terhadap bayi di samping segala tekanan di pejabat. Walau bagaimanapun, memandang keadaan hidup kebanyakan orang pada masa kini, anda memang perlu berusaha gigih untuk kembali bekerja setelah ketinggalan semasa cuti bersalin. Bersedialah untuk menukar rutin harian yang telah sedia ada di samping terpaksa meninggalkan bayi di bawah penjagaan orang lain selama lebih kurang 8 jam sehari. Anda mungkin mengerut dahi memikirkan semua ini; namun, ianya terpaksa dilakukan juga. Lambat laun anda akan mencapai suatu keseimbangan dan membiasakan diri sebagai seorang ibu yang bekerja.
Walaupun agak sukar untuk bekerja semula, namun anda perlu berusaha untuk menghadapinya sebaik mungkin. Memang sukar untuk menjadi seorang ibu yang bekerja. Anda pasti akan menghadapi pelbagai kesukaran namun jika anda telah bersiap sedia, anda serta bayi akan dengan segera dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan baru ini. Jika boleh, dapatkan pertolongan suami anda setakat mana yang dia mampu. Lagipun, dia mempunyai peranannya dalam kehidupan bayi juga! Ingatlah, kasih sayang bayi terhadap anda (dan anda terhadap bayi) tidak akan berubah sama sekali walaupun terpaksa melalui banyak perubahan apabila anda kembali bekerja.
“Jangan menangis sayang!”
Bayi anda memang secara semulajadinya rapat dengan anda. Dia mungkin akan berpaut pada anda jika diletakkan atau menangis dengan sekuat hati jika ditinggalkan dengan orang lain. Walau bagaimana rapat sekali pun bayi kepada anda, lambat laun dia akan mula berdikari. Tidak kira sama ada anda akan meninggalkan bayi bersama pengasuh, ibu bapa, mertua atau pusat asuhan kanak-kanak, berikut merupakan beberapa tip untuk dicuba bagi penjagaan bayi:
-
Mengenali antara satu sama lain.
Cuba biasakan anak anda dengan pengasuhnya dua minggu sebelum anda mula menghantarnya ke sana. Dengan cara ini, bayi tidak akan terlalu sedih pada beberapa hari pertama dia ditinggalkan bersama pengasuh.
-
Jangan menganggap bayi terlalu kecil.
Amalkan daripada sekarang untuk memberitahu bayi yang anda hendak keluar walaupun bayi masih terlalu kecil untuk memahaminya. Jangan curi-curi keluar untuk mengelakkan bayi daripada menangis.
-
Jangan tergesa-gesa.
Jangan tergesa-gesa meninggalkan bayi bersama pengasuh walaupun anda telah lambat. Cuba luangkan masa dengan mendakap dan menyakinkannya yang anda akan kembali untuk mengambilnya.
-
Bergembira.
Tunjukkan semua mainan kesukaan bayi anda kepada pengasuhnya. Anda juga boleh mengajar pengasuh cara bermain permainan yang digemari bayi.
-
Bawa sekali mainan yang dapat menenangkan bayi.
Kebanyakan bayi mempunyai barang permainan yang paling digemari seperti patung mainan, selimut, bantal atau apa sahaja. Dia akan rasa tenang dan selamat apabila membawanya bersama ke mana-mana. Oleh itu, bawanya bersama apabila hendak meninggalkan bayi bersama pengasuh.
-
Kenali tabiat bayi.
Pastikan pengasuh mengetahui segala tabiat istimewa bayi anda.
-
Perhatikan perkembangan bayi.
Dalam beberapa minggu yang pertama anda kembali bekerja, perhatikan samada terdapat sebarang perubahan pada bayi anda. Jika dia sering nampak sedih, anda mungkin perlu memikirkan pilihan penjagaan yang lain baginya.
Belajar meninggalkannya
Bukan sahaja bayi yang sukar untuk meninggalkan anda. Sebagai seorang ibu anda tidak dapat lari dari perasaan ingin selalu mendampinginya dan risau tak menentu apabila sedang bekerja. Anda mungkin rasa bersalah meninggalkannya bersama orang lain dan juga menganggap yang anda telah lari daripada tanggungjawab sebagai seorang ibu. Anda tidak perlu risau jika anda tahu bahawa bayi anda berada di tempat yang selamat. Ingatlah bahawa keyakinannya akan bertambah apabila dia berpeluang untuk melihat dunia luar tanpa anda disisinya. Ini turut akan memudahkan bayi dan anda apabila dia perlu ke sekolah tadika kelak.
Cara Menyusu Bayi bagi Ibu yang Bekerja
Susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi. Tetapi jika anda perlu menghabiskan 8 jam sehari bekerja di pejabat, bagaimanakah anda harus terus menyusu bayi dan menambah bekalan susu anda? Berikut terdapat tip-tip bagaimana anda dapat memastikan bayi terus dapat meminum susu anda walaupun anda bekerja di pejabat:
Sebelum kembali bekerja
-
Dapatkan nasihat.
Berbincang dengan pakar pediatrik, pakar diet atau pakar pemakanan tentang cara untuk bekerja serta masih menyusu bayi. Ambil peluang ini untuk turut membincangkan sebarang kebimbangan atau masalah yang anda hadapi.
-
Belajar mengeluarkan susu.
Belajar mengeluarkan susu dengan menggunakan tangan atau pam. Minta tunjuk ajar dari pakar penyusuan, jika anda masih kurang keyakinan.
-
Mulakan dari sekarang.
Anda patut mencuba sekurang-kurangnya dua minggu sebelum mula bekerja. Lambat laun, anda akan mula rasa lebih yakin dan dapat melakukanna dengan cepat.
-
Menyediakan bayi anda.
Luangkan masa untuk ‘melatih’ bayi menyesuaikan diri untuk meminum susu yang anda perah. Minta suami atau ahli keluarga terdekat untuk memberikan susu yang diperah kepada bayi sehari sekali. Anda patut menambah kekerapan tersebut secara perlahan lebih kurang dua minggu sebelum balik bekerja.
-
Menyediakan pengasuh.
Jika boleh, minta pengasuh memberikan susu yang diperah dalam botol, sudu kecil atau cawan kecil.
Apabila telah mula bekerja
-
Beritahu rakan kerja.
Anda dinasihatkan agar memberitahu ketua-ketua dan rakan kerja yang anda akan perlu memerah susu di pejabat. Beritahu mereka bilik mana yang akan digunakan. Ini akan memastikan anda tidak diganggu sewaktu melakukannya.
-
Kerap memerah susu.
Untuk memastikan bekalan susu anda tidak berkurangan, anda perlu memerah susu sekerap yang boleh atau sekurang-kurangnya setiap 3 atau 4 jam. Cuba gunakan waktu makan tengah hari atau petang untuk memerah susu.
-
Simpan susu.
Susu yang diperah ke dalam botol-botol harus disimpan dalam peti sejuk pejabat. Jangan lupa melabelkan botol-botol tersebut dengan masa dan tarikh. Anda juga boleh menyimpan botol-botol berisi susu di meja anda selama 8 jam tanpa bimbang susu menjadi rosak. Tetapi jangan lupa membawa botol-botol tersebut pulang ke rumah. Pastikan yang anda akan pulang terus ke rumah selepas kerja dan meletakkan susu di dalam peti sejuk secepat mungkin. Susu dalam peti sejuk perlu digunakan dalam masa 48 jam setelah disimpan.
-
Pakai pakaian yang sesuai.
Jika anda terpaksa memerah susu di pejabat, pakaian yang paling sesuai adalah jenis yang berbutang di bahagian depan. Untuk mengelakkan dari kesan susu bocor pada baju, cuba alaskan baju dalam dengan ‘breast pads’.
-
Gunakan segala peluang yang ada untuk menyusu bayi.
Jadikan menyusu bayi sebagai satu rutin harian sebelum dan selepas ke pejabat, dan sebelum tidur. Ini akan mengeratkan ikatan dengan bayi di samping membantu bekalan susu agar mencukupi dan kian bertambah.
Komen