Pengasuhan Positif

Kata Kunci #1: Tanggungjawab Asuhan Bersama

Tanggungjawab sebagai ibu bapa amat berat tetapi memberangsangkan. Sebagai ibu bapa, kita mahu memberikan yang terbaik untuk anak kita. Namun, perkembangan mereka juga bergantung pada kerjasama antara ibu bapa. Lebih penting lagi, perkongsian tanggungjawab menyumbang kepada hubungan yang lebih sihat antara ibu dan bapa.

Perkongsian Adalah Tanda Kasih Sayang…

Adalah penting untuk berkongsi tanggungjawab sebagai ibu bapa. Jangan bebankan diri anda dengan memikul tanggungjawab seorang diri. Luangkan masa untuk duduk bersama pasangan anda untuk membincangkan tanggungjawab satu sama lain. Petua berikut dapat membantu anda menguruskan tanggungjawab anda sebagai ibu bapa:

  • Mulakan awal. Mulakan persiapan sebelum bayi anda lahir dengan membincangkan bersama pasangan anda harapan masingmasing. Ini akan mengurangkan konflik dan kekecewaan antara anda berdua apabila tiba saat yang dinantikan, kerana anda mungkin tiada masa untuk menyelesaikan pertikaian. Di samping itu, ikuti kelas bimbingan ibu bapa bersama pasangan anda. Kelas ini mendedahkan pelbagai aspek penjagaan bayi dan tanggungjawab sebagai ibu bapa.
  • Bergilir-gilir jaga bayi. Jika bayi anda kerap bangun malam, anda berdua boleh bergilir-gilir mengurus dan menyusukan bayi. Isteri memerlukan rehat dan tidur secukupnya, terutamanya dalam beberapa minggu pertama selepas bersalin. Giliran tanggungjawab termasuk menguruskan kerja rumah dan merancang aktiviti yang membabitkan keluarga.
  • Kepercayaan pada pasangan anda. Beri ruang kepada pasangan anda menggunakan gayanya sendiri untuk menguruskan si manja. Perbezaan cara untuk menjaga bayi adalah normal. Sebagai contoh, jika pasangan anda menggalakkan si manja bersifat ingin tahu, pastikan anda menetapkan garis sempadan supaya anak anda tidak terlanjur. Jika terdapat keperluan untuk membetulkan satu sama lain, hadkan teguran “Jangan, awak patut….” Terangkan secara lembut.
  • Buka minda anda. Apabila anda berdua tidak sependapat, cuba lihat dari sudut pandangan pasangan anda. Kemahiran yang kita perolehi adalah pengalaman kita membesar di bawah jagaan ibu bapa kita. Jadi, cara yang tidak pernah digunakan ke atas kita tidak semestinya bermakna ia tidak sesuai atau tidak berkesan. Menimbangkan perspektif pasangan anda mungkin berfaedah kepada anda berdua.
  • Hargai satu sama lain. Semua orang suka dipuji dan dihargai. Selalu lafazkan ucapan terima kasih kepada pasangan anda. Anda bukan sahaja memberi sokongan kepada pasangan anda tetapi juga menghargainya lalu mengukuhkan perhubungan. Jika anda tidak sempat, tulis nota dan letakkan di tempat yang mudah dilihat oleh pasangan anda. Satu senyuman, secawan kopi atau memicit bahu pasangan adalah antara sentuhan keajaiban yang menambah keintiman perhubungan.

Adalah lebih mudah untuk bersama-sama mengasuh si manja, daripada meletakkan seluruh tanggungjawab ke atas salah seorang daripada anda. Ingatlah, paling penting dalam perkongsian tanggungjawab secara berkesan antara ibu dan bapa ialah komunikasi, kerjasama dan sikap bertolak ansur. Bukan mudah untuk menjadi ibu bapa, tetapi kerjasama sebagai satu pasukan menjamin masa depan yang cemerlang.

Kata Kunci #2: Luahkan perasaan!

Komunikasi antara suami dan isteri sangat penting. Si ibu, jika anda tidak menyuarakan keperluan atau minta bantuan, pasangan anda tidak akan tahu apa yang anda inginkan. Si bapa pula, jika anda ingin membantu tetapi tidak pasti caranya, jangan berat mulut, tanyalah pasangan anda. Tiada sebab untuk merasa malu. Anda hanya perlu menggunakan pendekatan yang betul apabila menyoal atau menjawab, lebih-lebih lagi apabila tekanan meningkat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen