Pengasuhan Positif

Kanak-kanak Istimewa, Keluarga Khas

Apabila seseorang anak istimewa dilahirkan dalam sebuah keluarga, ibu bapa sedar akan pelbagai cabaran yang bakal dihadapi. Mereka bukan sahaja perlu menangani isu-isu dari segi kewangan dan masa, malahan mereka perlu berdepan dengan emosi diri dan reaksi daripada ahli keluarga, saudara mara, kawan-kawan dan masyarakat.

Kehadiran anak istimewa boleh menyebabkan perubahan struktur sesebuah keluarga yang dinamik. Keadaan ini berlaku kerana setiap ahli keluarga perlu belajar cara mentafsir keperluan anak istimewa yang hanya boleh berkomunikasi melalui gerak-geri mata dan bunyi. Ia menjadi satu usaha kolektif seluruh keluarga untuk memahami kelakuan anak istimewa sementara memastikan keperluan ahli keluarga yang lain turut dipenuhi.

Sebagai langkah pertama, ibu bapa tidak harus beranggapan bahawa kekurangan anak istimewa mereka adalah fokus utama keluarga. Jika tidak, seluruh keluarga akan terbelenggu oleh kekurangan tersebut dan kehidupan ibu bapa, anak istimewa, dan anak-anak yang lain akan menderita. Salah satu cabaran utama yang bakal dihadapi adalah perhubungan antara anak istimewa dengan adik-beradik dan saudara mara.

Adik-beradik kepada kanak-kanak istimewa

Ini mungkin sukar bagi adik-beradik kepada anak istimewa untuk memahami bahawa ibu bapa bukan hanya memihak kepada adik-beradik istimewa mereka. Ia juga menjadi sukar bagi mereka untuk menerima adik-beradik yang mempunyai kecacatan dari segi mental, fisiologi atau kemahiran pembelajaran.

Dalam keadaan seperti ini, bukannya mudah bagi ibu bapa untuk mengamalkan tanggungjawab keibubapaan yang seimbang kerana anak istimewa memerlukan pemantauan dan bimbingan yang berterusan. Untuk mengekalkan kesejahteraan anak-anak, ibu bapa boleh mengamalkan petua berguna seperti berikut:

  1. Ibu bapa harus menunjukkan bahawa mereka memahami ketidakpuasan anak-anak mereka dan dengar dengan teliti pendapat dan keperluan mereka. Ini akan membantu anak-anak untuk mengerti bahawa ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk memainkan peranan sebagai adik-beradik kepada kanak-kanak istimewa.
  2. Cuba luangkan masa dari jadual harian anda untuk bersama dengan anak-anak anda yang lain. Ini adalah penting supaya mereka tidak merasai diri mereka hanya mejadi tumpuan anda apabila mereka berkelakuan nakal atau melakukan sesuatu kesalahan. Anda harus sedar bahawa kekurangan perhatian daripada ibu bapa boleh mendorong kepada tingkah laku bermasalah dalam sesetengah kanak-kanak. Cuba beri perhatian yang sama rata antara anak-anak anda.
  3. Jangan lupa untuk memberi pujian akan pencapaian anak-anak anda, dan bukan hanya membesar-besarkan kelemahan mereka. Dengan ini, anak-anak anda akan merasai mereka diberi layanan yang sama – hukuman akan diberi jika mereka melakukan sesuatu kesalahan, manakala penghargaan yang sewajarnya akan diberi jika mereka berbuat baik.
  4. Ingatlah bahawa anak-anak anda mungkin berasa marah dan geram terhadap adik-beradik istimewa mereka yang tidak berkelakuan “biasa” seperti mereka. Sebaliknya, mereka akan cuba untuk mempersendakan adik-beradik istimewa mereka dan bertindak secara tidak peka terhadap perbezaan yang ada pada adik-beradik istimewa mereka. Jika keadaan ini berlaku, terangkan secara sabar kepada anak-anak anda bahawa perasaan ini adalah normal dan mereka harus cuba menerima adik-beradik mereka yang istimewa, sementara tidak menggalakkan perasaan ini. Selain itu, anak-anak anda mungkin berasa bersalah akibat perasaan negatif ini. Oleh itu, sebagai ibu bapa, anda harus meyakinkan mereka bahawa perasaan mereka adalah sesuatu yang dibenarkan.

Kehadiran anak istimewa juga mempengaruhi hubungan suami isteri. Oleh itu, ibu bapa harus meluangkan sedikit masa untuk berdua-duaan, walaupun ia hanya untuk makan bersama sekali-sekala. Bincanglah dengan pasangan anda tentang ketakutan dan kebimbangan anda, atau cuba bercakap dengan seseorang yang dapat memahami situasi anda. Ingatlah untuk meluangkan masa untuk diri sendiri dengan membenarkan ahli keluarga yang lain menjaga anak istimewa anda semasa anda berehat.

Berdepan dengan saudara-mara

Ibu bapa kepada kanak-kanak istimewa mungkin juga rasa marah akan gosip tentang anak istimewa mereka daripada saudara-mara, dan ini mungkin menambahkan lagi tekanan kepada ibu bapa tersebut. Dalam kes-kes seperti ini, untuk mengekalkan hubungan keluarga yang sihat, adalah penting untuk menyampaikan perasaan anda kepada saudara-mara anda, ataupun cuba mengabaikan komen mereka.

Sesetengah saudara-mara yang lebih tua masih mengamalkan pemikiran kolot tentang anak istimewa dan adalah penting untuk anda berbincang dengan mereka tentang kekurangan anak istimewa anda. Di samping itu, anda harus memberi peluang kepada saudara-mara untuk menjaga anak istimewa anda supaya mereka mempelajari dan memahami kanak-kanak istimewa dengan lebih baik.

Penjagaan kanak-kanak istimewa atau kanak-kanak yang kurang upaya merupakan satu cabaran yang sangat besar bagi seseorang ibu bapa. Apa jua, anda harus mengatasi ketakutan anda dan semua ahli keluarga perlu berusaha bersama-sama. Ini kerana satu keluarga yang penyayang adalah yang paling diperlukan oleh seseorang kanak-kanak istimewa.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen