Pengasuhan Positif

Jauhkannya Daripada Saya!

Terdapat sesetengah makanan yang sememangnya kita gemar dan ada sesetengah pula yang kita akan elak. Kita mungkin mengelak daripadanya kerana makanan tersebut menimbulkan pelbagai respons yang negatif, di mana satu daripada perasaan yang sering timbul adalah rasa jijik.

Perasaan negatif kita terhadap sesetengah makanan bermula daripada zaman kanak-kanak. Perasaan ini akan bertambah kuat apabila kita semakin membesar dan ia mungkin kekal sepanjang hayat. Tetapi bagaimanakah terbentuknya rasa tidak suka terhadap sesetengah makanan ini?

Secara Semulajadi. Rasa tidak suka terhadap sesetengah makanan mungkin merupakan suatu mekanisma semulajadi untuk terus hidup. Pada amnya, orang akan mengelakkan makanan yang dianggap akan mengancam keselamatan mereka, seperti makanan yang pahit dan masam. Alahan atau alergi makanan juga boleh membuat anak tidak suka makanan tertentu.

Pengalaman Buruk. Hampir semua orang mempunyai sekurangkurangnya satu makanan yang mereka tidak akan makan kerana ia pernah menyebabkan mereka jatuh sakit apabila termakannya suatu ketika dahulu. Ini merupakan satu contoh yang baik di mana satu pengalaman buruk sahaja sudah mencukupi untuk memjadikan seseorang itu mempunyai perasaan negatif terhadap sesuatu makanan.

Perasaan Tidak Suka Yang Dipelajari. Antara usia empat hingga lapan tahun, kanak-kanak akan belajar daripada melihat kelakuan orang lain. Mereka akan belajar tentang makanan mana yang dianggap menjijikkan dan perlu dielak. Dalam kata lain, mereka telah diajar untuk mengelak sesetengah makanan tertentu.

Tekstur Yang Tidak Diingini. Makanan yang lembik, melekit, basah dan bertekstur seperti jeli merupakan makanan yang biasanya dianggap sebagai ‘menjijikkan’. Biasanya, orang tidak menyukai makanan yang rasa pelik di dalam mulut dan ini menyebabkan mereka mengelak dari memakan makanan tersebut.

Tingkatkan Keseronokan, Kurangkan Rasa Meluat

Sebenarnya, ibu bapa boleh mempengaruhi anak mereka supaya makan hampir segala jenis makanan. Kunci ke arah mengelakkan rasa tidak suka terhadap sesuatu makanan bermula pada usia yang muda. Di sini terdapat empat nasihat mudah yang anda boleh gunakan untuk membantu anak anda menikmati makanan mereka:

  1. Jadilah Teladan Yang Baik. Semuanya bermula daripada anda sebagai ibu bapa. Jangan tunjuk di hadapan mereka jika anda sendiri tidak menyukai makanan tertentu. Sebaliknya, nikmatilah pelbagai jenis makanan bersama anak-anak anda. Kanak-kanak akan lebih berkemungkinan untuk menerima sesuatu makanan apabila melihat orang lain di sekeliling mereka memakan makanan yang sama.
  2. Penyampaian Makanan Secara Positif. Penyampaian makanan yang menarik dan menyeronokkan akan menimbulkan minat kanak-kanak terhadap makanan tersebut. Aturkan makanan dalam bentuk haiwan atau hidangkan sesuatu makanan baru dengan makanan kegemaran anak anda. Libatkan anak anda semasa menyediakan makanan, tonjolkan keseronokan memasak.
  3. Berikan Kepelbagaian Secara Konsisten. Pendedahan yang berulang terhadap sesuatu makanan yang tidak disukai dapat mematahkan tentangan kanak-kanak itu. Berikan makanan baru dalam kuantiti yang kecil bersama dengan makanan kesukaannya, dan tingkatkan kuantitinya sedikit demi sedikit sehingga anak anda perlahan-lahan menerimanya. Anda juga boleh mencuba kaedah penyediaan yang berbeza untuk makanan yang sama, seperti memanggang, memuri atau mendidih.
  4. Jangan Paksa Anak Anda Makan. Kanak-kanak yang dipaksa makan sesuatu makanan tertentu akan lebih berkemungkinan untuk tidak menyukai makanan tersebut. Kaedah pemaksaan akan memberi kesan buruk terhadap keadaan emosi anak anda dan ini akan menyebabkan mereka sentiasa mengaitkan makanan tersebut dengan sesuatu yang negatif.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen