Pengasuhan Positif

Hamil Dengan Anak Kembar Dua, Tiga atau Lebih?

Apakah Yang Menyebabkan Kehamilan Anak Kembar Dua, Tiga, Empat atau Lebih?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan kehamilan berganda (kembar dua, tiga atau lebih) telah meningkat pada kadar yang sangat tinggi. Lihat sahaja liputan akhbar terkini tentang kelahiran anak kembar lapan yang sangat luar biasa di Amerika Syarikat. Menurut laporan, ibu kembar lapan tersebut, Nadya Suleman menjalani rawatan pensenyawaan in-vitro (IVF). Ia merupakan teknologi bantuan reproduksi yang membantu wanita-wanita yang mengalami masalah kesuburan dan semakin lazim dijalankan pada hari ini. Kehamilan berganda menjadi lebih kerap daripada kemajuan rawatan ini. Berikut adalah beberapa sebab-sebab natijah lain yang boleh menyebabkan kehamilan berganda:

  • Ramai wanita yang kini melewatkan kehamilan hingga mencecah usia 30an dan seterusnya. Ini mungkin membawa kepada perubahan hormon yang boleh mengakibatkan lebih daripada satu telur dihasilkan pada sesuatu masa.
  • Peningkatan penggunaan ubatan kesuburan seperti menotropin dan klomifen meningkatkan bilangan kehamilan yang melibatkan lebih daripada satu bayi.
  • Kemungkinan mengalami kehamilan berganda juga meningkat jika ibu pernah atau mempunyai sejarah keluarga yang hamil dengan anakanak kembar dua atau tiga yang seiras.

Persenyawaan In vitro (IVF)

Apakah ia sebenarnya? Rawatan kesuburan ini membantu meningkatkan peluang penghamilan dengan menyemai telur-telur dan mensenyawakan secara in vitro – di dalam tabung uji. Satu atau lebih telur disenyawa akan dipindahkan semula ke dalam rahim ibu, dengan harapan ibu tersebut akan dapat membawa sekurang-kurangnya sebiji telur tersebut hingga cukup tempoh.

Risiko: Wanita-wanita yang melalui rawatan ini perlu tahu risikonya. Oleh kerana prosedur ini melibatkan pemindahan lebih daripada sebiji telur yang disenyawakan di dalam rahim, terdapat kemungkinan besar menghasilkan anak kembar dua atau lebih. Terdapat bukti di mana 1 dalam 4-5 kehamilan IVF adalah kehamilan berganda.

Cabaran-cabaran Yang Mungkin Akan Anda Hadapi

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Madya Dr Tan Ay Eeng menerangkan pengalaman ibu kehamilan berganda adalah lebih mencabar berbanding ibu kehamilan tunggal. “Mereka sememangnya memerlukan tahap penjagaan yang lebih tinggi sepanjang kehamilan,” kata beliau. Dr Tan turut mengetengahkan empat cabaran unik yang mungkin akan anda hadapi apabila hamil dengan anakanak kembar atau berganda:

Emosi. Anda mungkin akan rasa bimbang dan kurang pasti. Anda juga mungkin kurang keyakinan untuk mengendali lebih daripada seorang bayi pada sesuatu masa. Emosi bercampur aduk ini memerlukan sokongan emosi yang lebih daripada pasangan dan ahli keluarga lain.

Tanda-tanda kehamilan. Anda mungkin mengalami tanda-tanda yang lebih memuncak seperti kenaikan berat badan yang banyak, regangan berlebihan pada dinding abdomen, sukar tidur, kebengkakan kaki dan sebagainya.

Penjagaan antenatal. Anda perlu memberi perhatian yang lebih terhadap penjagaan kehamilan anda dengan kunjungan doktor yang lebih kerap. Anda juga perlu bersedia untuk dimasukkan wad untuk berehat atau penjagaan lain apabila timbul sebarang komplikasi.

Komplikasi. Anda mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi komplikasi seperti anemia, hipertensi, diabetes melitus atau kencing manis, kelahiran pramatang, ketidaknormal kongenital pada fetus, kerencatan tumbesaran dan peningkatan peluang untuk melahirkan anak menerusi pembedahan Caesarean.

Menyusu anak kembar dua atau lebih masih boleh dilaksanakan menerusi teknik-teknik penyusuan yang betul serta sokongan daripada pasangan dan ahli-ahli keluarga yang lain.

Cabaran-cabaran Yang Mungkin Akan Dihadapi oleh Bayi-bayi

“Saya sememangnya sentiasa kagum dengan kesabaran yang ditunjukkan oleh ibubapa dan selalunya hasil jangka panjangnya seringkali memuaskan”, kata Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Dato’ Dr Musa Mohd Nordin. Selain ketabahan ibu bapa, sikap keberanian dan keinginan untuk hidup yang ditunjukkan oleh bayi kecil walaupun menghadapi kesukaran, memberi inspirasi kepada beliau.

Komplikasi fetus. Bayi kembar berganda mungkin mengalami masalah yang lebih unik seperti transfusi kembar ke kembar – salah seorang bayi menjadi pucat dan seorang lagi menghadapi masalah menerima darah berlebihan daripada plasenta dikongsi. Bayi-bayi ini juga lebih berkemungkinan untuk mengalami tumbesaran terbantut semasa di dalam rahim.

Kelahiran. Terdapat kemungkinan tinggi berlakunya kelahiran pramatang. Bayi-bayi kembar mempunyai kemungkinan enam kali lebih tinggi berbanding bayi-bayi tunggal.

Komplikasi bayi. Jika bayi kembar dilahirkan dengan organ-organ pramatang, peparu yang belum matang boleh membawa kepada sindrom sesak pernafasan (RDS). Selain itu, mereka mungkin berisiko tinggi untuk lahir dengan hati pramatang yang membawa kepada penyakit kuning atau jaundis. Komplikasi sebegini mungkin memerlukan bayi dimasukkan ke dalam unit penjagaan rapi neonatal (NICU).

Kecacatan semasa lahir. Kejadian berlakunya kecacatan kongenital adalah 20% lebih tinggi dalam kehamilan berganda. Anomali jantung adalah kategori terbesar dalam kecacatan. Jenis kecacatan yang luar biasa seperti kembar bercantum (kembar siam) dan akardia (ketiadaan jantung) amat unik pada anak kembar. Kecacatan yang biasa seperti clubfoot (posisi kaki yang abnormal) dan lebihan jari atau jari kaki yang kurang serius.

Cabaran-cabaran Yang Mungkin Akan Dihadapi oleh Keluarga

“Kehamilan berganda datang bersama kegembiraan berganda, pilihan berganda dan juga cabaran berganda dalam kombinasi pelbagai perkara seperti pengurusan masa, kewangan, kesihatan, hubungan suami isteri dan banyak lagi,” menurut Dr Anjli Doshi-Gandhi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Malaysia.

Sememangnya ibu bapa hari ini yang mempunyai anak kembar dua atau lebih akan mengalami kesukaran, terutamanya jika kedua-dua suami isteri bekerja keras mengimbangi kerjaya, masa keibubapaan dan lebih-lebih lagi jika mereka tinggal bersendirian. Pasangan suami isteri perlu bekerja lebih keras untuk berkongsi tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka kerana setiap anak patut menerima kasih sayang, penjagaan, penerimaan yang sama rata serta asuhan, untuk membesar dengan sihat dan sejahera.

“Oleh kerana kami mempunyai dua pasang anak kembar, kami menghadapi masalah bebanan kewangan yang besar. Biasanya kami akan merancang belanjawan setiap bulan kerana kami perlu berhati-hati dalam perbelanjaan. Kami juga tidak membeli barangan daripada sebarangan kedai tetapi mencari produk yang paling murah. Selain daripada cermat berbelanja, kami percaya pelaburan insurans kesihatan untuk kanak-kanak seawal mungkin adalah amat penting. Kita tidak akan tahu bila sesuatu kecemasan akan berlaku,” kongsi Megat Syahrul Rizal Megat Ismail.

Ibu Bapa:

Megat Syahrul Rizal Megat Ismail & Radin Diana R Ahmad

Anak kembar:

Megat Amer Hakim & Putri Amera Syahirah (3 1/2 tahun); and Megat Ahmad Haikal & Putri Aqeela Hana (6 bulan)

“Keluarga isteri saya banyak memberi sokongan dan telah banyak membantu. Pada beberapa bulan pertama, isteri saya telah menghadapi cabaran, terutamanya semasa di dalam pantang. Kami bernasib baik kerana mempunyai keluarga yang tinggal berdekatan. Dulu, saya kerap bermain tenis tetapi kini saya lebih banyak menghabiskan masa dengan keluarga saya. Saya percaya, sebagai satu keluarga dan yang paling penting, sebagai suami isteri, kami perlu bekerja sama memberi sokongan sesama sendiri, bergilir-gilir menjaga anak kembar dan anak lelaki sulung kami. Saya rasa keadaan akan menjadi lebih mudah apabila anak-anak kami semakin membesar,” kongsi Mohd Azmir Ramli.

Ibu Bapa:

Mohd Azmir Ramli & Azeleen Binti Mohd Razali

Anak kembar:

Firash Hameez & Farish Hadeef (9 bulan)

“Kami tidak pernah menyangka akan mempunyai anak-anak kembar. Ia suatu kejutan gembira kerana kami mempunyai empat orang anak sebelum kelahiran anak kembar kami. Selain teruja dengan kembaran, kami sentiasa menghargai mereka sebagai individu-individu tersendiri. Seorang akan sentiasa membawa buku ke mana jua (termasuk tidur) dan seorang lagi pula gemar mewarna dan melukis. Kedua-dua mereka mempunyai minat berbeza dan kami tidak membandingkan mereka. Satu perkara menarik dengan anak kembar adalah segalagalanya menjadi indah. Segala stres dan keletihan dirasai selepas bekerja terus hilang apabila melihat mereka,” kongsi Farehana.

Ibu Bapa:

Mohd Naim b. Mohammad & Farehana Hanapiah

Anak kembar:

Azra Sofiyah & Ayra Sofiyah (5 tahun)

“Sebagai adik-beradik kembar, ramai menganggap kami mempunyai banyak persamaan – keluar bersama-sama, hobi yang sama, kawankawan yang sama dan sentiasa bersetuju dalam semua perkara! Mereka menganggap kami tidak mempunyai kehidupan kami sendiri. Keperibadian kami semakin berbeza apabila kami membesar. Saya lebih gemar belajar tetapi adik saya berlainan. Kerjaya kami berbeza dengan saya dalam bidang kreatif dan adik pula dalam bidang kejuruteraan. Kami mempunyai identiti tersendiri kerana cemerlang dalam bidang yang berbeza,” kongsi Timothy.

Anak kembar:

Timothy Khor & Jed Khor (19 tahun)

Satu ataupun Lebih

“Keluarga yang sedang menunggu kelahiran anak kembar dua, tiga atau lebih biasanya dijangka menghadapi lebih cabaran apabila melalui peringkat kehamilan, semasa kelahiran dan seterusnya,” kata Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Pediatrik.

Walaupun anda tidak boleh mengawal kehamilan tunggal ataupun berganda, namun anda masih boleh bersiap sedia untuk apa yang bakal menanti. Ianya normal untuk merasa bingung dan bimbang setelah mendapat tahu anda akan mendapat anak kembar berganda. Anda juga akan memikir cara anda akan mengendalikan cabaran perubatan, fizikal dan psikologi dengan anak kembar dua atau lebih. Kuncinya adalah pengetahuan. Sebagai ibu bapa, anda bertanggungjawab untuk mempelajari sebanyak mungkin supaya lebih bersedia menghadapi kehamilan, kelahiran dan penjagaan bayi-bayi anda. Ini adalah sebahagian daripada persediaan untuk masa keibubapaan.

Pasangan yang merancang untuk hamil perlu mempertimbangkan untuk mempunyai anak pada usia yang lebih muda, lebih baik sebelum mencecah usia 35 tahun. Ini adalah untuk mengurangkan risiko kemungkinan mengalami komplikasi kehamilan apabila hamil lewat usia. “Jika anda memilih untuk menjalani pensenyawaan in-vitro (IVF), anda perlu memahami prosedur ini akan meningkatkan peluang untuk kehamilan bayi kembar berganda. Walau bagaimanapun, saya yakin ia masih merupakan perjalanan ke arah zaman ibubapaan yang hebat bagi anda dan pasangan anda!” kata beliau.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen