Pengasuhan Positif

Dulu Berdua, Kini Bertiga

Tahniah, bayi anda selamat dilahirkan! Sebagai insan yang baru bergelar ibu bapa, perasaan gembira tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Malah, ada masanya anda juga akan berdepan dengan stres dan rasa bimbang. Mengetahui apa yang akan berlaku dan bagaimana mengatasinya akan membantu anda dan pasangan anda bergembira dengan kehadiran anggota baru dalam keluarga.

Bersedia menghadapi perubahan dramatik

Walaupun kehadiran bayi membawa detik-detik yang indah dalam hidup anda, anda juga perlu bersedia untuk detik-detik yang tidak menyeronokkan seperti tidak dapat tidur setiap malam, kerunsingan yang baru dan tanggungjawab yang bertambah. Berbincang dan buatlah rancangan dengan pasangan anda bagaimana membahagikan tugas-tugas seperti tugas menjaga bayi, rutin rumah dan pembayaran bil. Sentiasa bersedia akan membantu anda menyokong antara satu sama lain dengan lebih baik.

Kongsi harapan anda tentang keluarga idaman

Wawasan anda berhubung keluarga idaman mungkin berbeza dari pasangan anda. Jangan menganggap gabungan wawasan keluarga ideal anda akan berlaku dengan sendiri. Berkongsi antara satu sama lain jenis keluarga yang anda harapkan dan tetapkan matlamat yang bermakna untuk anda berdua.

Berbual antara satu sama lain

Kegagalan berkomunikasi secara terbuka dan jujur antara satu sama lain akan menyebabkan kemarahan dan masalah-masalah yang tidak dapat diselesaikan. Berusahalah untuk berbual antara satu sama lain – ketika bersiar-siar dengan bayi anda, selepas bayi tidur, atau tetapkan satu masa setiap minggu hanya untuk berbual-bual bersama pasangan anda.

Harapan ayah

Peranan seorang ayah melibatkan diri secara aktif untuk membesarkan bayi adalah amat penting. Selalulah menyentuh, memegang dan berbual dengan bayi anda. Anda juga boleh membantu memandi, menukar lampin dan menenangkan bayi anda, terutamanya apabila bayi anda bangun pada waktu malam.

Jangan menjadi celupar

Jangan menyalahkan antara satu sama lain apabila berlaku pergaduhan. Contohnya, jika anda rasa pasangan anda tidak melakukan kerja rumah yang telah ditetapkan, tegur pasangan anda dengan tenang dan membina. Nasihati pasangan agar menegur anda jika anda melakukan hal yang sama.

Temu janji dengan pasangan anda

Bermula dari sekarang dan seterusnya, pilihlah satu malam untuk anda keluar bersama pasangan anda. Tinggalkan bayi anda dengan ahli keluarga atau kawan yang dipercayai. Jangan berasa bersalah kerana perkahwinan yang kukuh adalah asas bagi sebuah keluarga yang bahagia dan menjadi ibu bapa yang penyayang adalah hadiah terbaik yang anda beri kepada anak anda.

BERUSAHA UNTUK BERMESRA

Walaupun perhubungan seksual seakan-akan menjadi tidak begitu penting setelah kehadiran bayi dalam hidup anda, anda masih perlu meluangkan masa untuk itu.

Jika perhubungan seksual sukar dilakukan, cubalah menyentuh, memeluk, berpelukan atau mengurut pasangan anda. Kadang kala, perasaan rapat antara satu sama lain adalah lebih baik.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen