Pengasuhan Positif

Bila Datuk dan Nenek Tinggal Bersama

Datuk dan nenek memainkan peranan yang berharga dan dapat mencurahkan kasih sayang sepenuhnya yang diperlukan oleh anak-anak anda. Di Malaysia, ramai pasangan suami isteri tinggal bersama mentua. Hasil kajian di kalangan keluarga yang mempunyai ibu bapa berusia 60 tahun dan ke atas, yang dijalankan di seluruh negara pada tahun 2004, menunjukkan bahawa 63.2% daripada keluarga ini dianggotai oleh datuk dan nenek, ibu dan bapa, dan anak-anak (Aziz RA. Akademika 2007;70:103-115).

Sebagai ibu bapa, anda seharusnya merasa bertuah jika datuk dan nenek – sama ada ibu bapa anda sendiri atau mentua – membiarkan anda menerajui keluarga anda dan membesarkan anak-anak dengan cara anda sendiri, sedangkan mereka sekadar memberi bantuan dan nasihat apabila diperlukan.

Datuk & nenek yang tinggal bersama menawarkan…

Kelebihan Cabaran
  • Menyediakan sistem sokongan penjagaan anak yang baik bagi ibu bapa yang bekerja.
  • Menjimatkan wang yang perlu dibayar untuk penjaga atau untuk menghantar anak ke pusat penjagaan siang hari.
  • Mengurangkan kemungkinan anak mendapat kecederaan atau terlibat dalam perbuatan nakal.
  • Kadang-kala campur tangan dalam cara anda membesarkan anak.
  • Menawarkan nasihat yang tidak diingini, terlalu memanjakan anak anda, melonggarkan peraturan dan rutin yang anda tetapkan untuk mereka.

Bagaimanapun, konflik mungkin timbul apabila mereka bertindak melebihi batas untuk bercampur tangan dalam cara anda membesarkan anak-anak anda, atau memperkecilkan kuasa anda sebagai ibu bapa. Ada kalanya, pertelingkahan kecil boleh melarat menjadi pertengkaran besar.

Bagaimana untuk mengatasi pertelingkahan kecil dengan ibu bapa dan mengekalkan keharmonian dalam keluarga?

Apa yang anda boleh lakukan

Pertama sekali, tidak ada yang pasti betul atau salah dalam cara anda atau datuk dan nenek mahu membesarkan anak-anak anda. Ia lebih kepada gaya dan pendapat. Tetapi anda boleh cuba mencari jalan tengah yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

  • Anda dan pasangan anda sepatutnya mencapai persetujuan terlebih dahulu mengenai cara membesarkan anak. Sekiranya berlaku pertelingkahan dengan datuk dan nenek, jelaskan kepada mereka tentang pendirian anda dengan cara yang tidak menyinggung perasaan mereka.
  • Dengar dan jawab komen dan nasihat mereka. Jika nasihat mereka berguna, ucapkan terima kasih kepada mereka. Jika anda tidak suka nasihat mereka, tidak perlu tunjuk kemarahan. Sebaliknya, anda boleh kata, “Terima kasih, saya tidak pernah terfikir begitu, tetapi saya akan sentiasa ingat.”
  • Tetapkan peraturan dan buat perjanjian terus terang, seperti apa dan bila anak patut ikut peraturan anda, dan bila peraturan datuk dan nenek boleh diguna pakai.
  • Ada kalanya anda boleh memberi sedikit kelonggaran. Jika kemahuan mereka tidak bercanggah dengan pendirian anda atau tidak akan menyakitkan anak-anak anda, biarkan mereka melakukannya dengan cara mereka.
  • Jika anda rasa ibu bapa atau ipar-duai terlalu banyak campur tangan dalam urusan membesarkan anak-anak anda, anda boleh mengambil penjaga atau menghantar anak ke pusat penjagaan anak.

Apabila pertelingkahan kecil menjadi pertengkaran besar

Apabila ini berlaku, perasaan kedua-dua belah pihak akan tergores. Situasi ini perlu diperbaiki lebih awal untuk mengekalkan keharmonian dalam hubungan keluarga.

  • Apabila pertengkaran tidak mencapai sebarang penyelesaian, jauhkan diri daripada suasana tegang untuk membolehkan kedua-dua belah pihak bertenang.
  • Anda boleh cuba bercakap dengan datuk dan nenek semula selepas anda bertenang. Lebih baik lagi, minta pasangan anda menjadi “orang tengah” jika konflik adalah antara anda dan ipar-duai. Mereka mungkin dapat berbincang secara lebih baik dengan darah daging mereka sendiri.
  • Walau apa pun pertelingkahan antara anda dan datuk dan nenek anak-anak anda, jangan menyimpan dendam terhadap mereka. Ingatlah, anda semua mempunyai personaliti yang berlainan, dengan tahap pengalaman dan pengetahuan yang berlainan. Anda boleh bekerjasama dan membesarkan anakanak anda dengan sebaik mungkin.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen