Pengasuhan Positif

Berusaha Ke Arah Kecemerlangan – Dengan Cara Sihat

Pendidikan telah menjadi satu aspek yang sangat penting dalam masyarakat. Ada yang mengatakan bahawa pendidikan adalah keperluan manusia yang keempat paling penting selepas makanan, pakaian, dan tempat tinggal! Ia adalah penting kerana ia membekalkan anak-anak kita dengan pengetahuan tentang banyak perkara dalam kehidupan, serta mengajar mereka adab dan tingkah laku yang betul.

Namun, ramai kanak-kanak sering berasa tertekan untuk menghadiri sekolah walaupun mereka boleh memperolehi banyak pengetahuan. Ini tidak menghairankan, terutamanya apabila masyarakat terlalu mengutamakan keputusan yang cemerlang, dan sesiapa yang mendapat gred kurang daripada purata akan dianggap sebagai “gagal”.

Retak di bawah tekanan

Pernahkah anda mengomel anak anda atau mengadu apabila dia membawa balik keputusan peperiksaan yang tidak sebaik seperti yang anda jangkakan? Bagaimana pula apabila dia membawa balik keputusan yang baik, dan anda pula membandingkan keputusannya dengan anak rakan anda yang mempunyai keputusan yang lebih baik?

Ibu bapa sentiasa berasa apa yang mereka buat adalah yang terbaik untuk anak mereka, dan mereka mempercayai bahawa gred yang baik adalah penting untuk berjaya dalam hidup. Inilah sebabnya ibu bapa sering menekan anakanak mereka untuk mencapai keputusan yang cemerlang, dan berasa anak-anak mereka boleh mencapai yang lebih baik daripada apa yang mereka sedari.

Malangnya, ini menyebabkan anak-anak mereka berasa gelisah dan bimbang tentang pencapaian akademik mereka, yang akhirnya boleh menjejaskan kesihatan mental mereka jika mereka tidak berupaya untuk menghadapinya. Satu kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan kebelakangan ini menunjukkan bahawa 5.2% daripada 6,000 pelajar dari sekolah menengah mengalami kemurungan yang serius disebabkan oleh tekanan dalam penyediaan untuk peperiksaan!

Bantulah dia untuk menghadapi pembelajaran

Mencapai gred yang baik tidak semestinya menjadi suatu tekanan. Anda boleh membantu anak anda untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, dan pada masa yang sama tinggalkan tekanan tersebut. Berikut adalah cara-cara di mana anda boleh membantu anak anda untuk menghadapi pelajarannya:

  • Fahami gaya pembelajaran anak anda. Setiap kanak-kanak mempunyai gaya dan cara pembelajaran yang tersendiri. Mereka yang belajar melalui aktiviti atau dengan mencatat nota adalah dikenali sebagai pelajar kinestetik. Pelajar yang belajar secara auditori belajar dengan lebih baik apabila mereka mendengar arahan verbal. Kanak-kanak lain yang belajar melalui gambarajah dan gambar adalah dikenali sebagai pelajar visual. Kenal pasti dan fahami cara yang lebih sesuai untuk anak anda supaya anda boleh menggunakannya untuk membantu anak anda dalam pelajaran.
  • Jadikan masa belajar itu masa yang kualiti. Luangkan masa dengan anakanak anda apabila mereka membuat tugasan dan kerja rumah. Dengan ini, anda boleh membantunya jika dia mempunyai apa-apa keraguan, atau perhatikan mana-mana mata pelajaran yang dia mempunyai masalah untuk menangani supaya anda boleh mendapatkan bantuan untuknya, contohnya melalui tuisyen.
  • Amalkan teknik bersantai dan memfokus semula. Ia adalah penting untuk anak anda mengamalkan teknik bersantai apabila dia terasa dibebani, bawah tekanan, atau hanya berasa letih dan terganggu. Ini akan membantunya untuk memfokus semula tenaga dalam kerjanya dengan lebih tenang dan kurang tekanan. Sesetengah teknik ini mungkin melibatkan bersiar-siar atau menunggang basikal, atau hanya menonton televisyen untuk seketika.
  • Memberi pujian dan galakan selalu. Setiap kanak-kanak mempunyai bakat dan batasan yang tersendiri. Jangan cuba untuk membandingkan anak anda dengan anak orang lain. Sebaliknya, akui usahanya dan pujinya apabila dia berjaya mencapai sesuatu atau mendapat keputusan yang baik. Ingatlah, pembelajaran itu haruslah menyeronokkan dan bukannya satu pertandingan yang tertekan untuk melihat siapa yang memenangi pingat dan hadiah yang terbanyak!

Mendapat gred yang baik dan pertandingan yang sederhana dalam cara yang sihat tidak akan membawa apa-apa kemudaratan, malah ia akan membantu anak anda untuk berusaha ke arah mencapai matlamatnya.

Walau bagaimanapun, perkara mungkin menjadi tidak terkawal apabila dia tidak mampu untuk menghadapi dan menangani tekanan daripada pelajaran dan peperiksaan. Sentiasa ingatkan anak anda supaya lakukan yang terbaik yang dia boleh, tanpa berasa terlalu bimbang terhadap keputusannya.

Pembelajaran adalah untuk memperolehi pengetahuan, dan tidak harus dibayangi oleh keperluan atau tekanan untuk mencapai kecemerlangan. Pendidikan adalah untuk membolehkan kanak-kanak kini menjadi tunggak negara pada masa yang akan datang.

* Sila ambil perhatian bahawa arahan di atas adalah untuk kanak-kanak perempuan dan lelaki.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen