Pengasuhan Positif

Bersamamu Semasa Sakit dan Sihat

Hidup bersama pasangan anda yang mempunyai penyakit yang berpanjangan menimbulkan banyak cabaran. Mengetahui bagaimana untuk menghadapi cabarancabaran ini adalah satu proses pembelajaran yang unik.

“Penyakit” sering memberi satu gambaran di mana seseorang itu batuk dan selsema, mengalami asma, tulang patah atau kesakitan yang berkaitan dengan umur yang meningkat. Tapi, apa yang akan terjadi apabila suami atau isteri anda didiagnosis dengan penyakit kronik seperti kanser, dan penyakit ini pula menyebabkan perubahan dalam dinamik hubungan anda?

Penyakit kronik boleh menjejaskan kedua-dua pasangan dalam pelbagai cara dan di banyak peringkat yang berlainan. Ia boleh menjejaskan secara drastik kehidupan kewangan sesuatu pasangan, meregangkan hubungan emosi mereka serta mengubah hubungan intim mereka.

Apabila didiagnosis

Kedua-dua pasangan biasanya akan melalui pelbagai peringkat apabila mereka belajar untuk menghadapi suatu penyakit kronik.

Suami atau isteri yang baru didiagnosis dengan suatu penyakit tertentu akan mempunyai pelbagai perasaan – takut, lemah, sedih dan keliru. Dia juga mungkin berasa kecewa dengan badannya atau merasa bahawa keadaan ini tidak adil baginya; ini akan menyebabkannya berasa marah pada diri sendiri dan terhadap orang-orang yang dia sayangi. Ramai orang yang berpenyakit kronik juga menderita kerana rasa bersalah. Mereka rasa bersalah kerana tidak dapat menyumbang kepada keperluan kewangan, emosi dan keintiman pasangan mereka seperti dahulu.

Sebaliknya, pasangan yang sihat pula mungkin berasa diri mereka tidak berupaya kerana tidak dapat menyembuhkan pasangan mereka yang menghidap penyakit kronik dan berasa sedih dengan kehilangan kehidupan normal yang pernah mereka nikmati bersama. Pasangan yang sihat juga boleh menjadi marah dengan situasi tersebut, dan berasa ini bukanlah apa yang sepatutnya berlaku. Di samping itu, menjaga pasangan yang sakit tenat boleh menjadi beban. Kadang kala, pasangan yang sihat merasa diri mereka lemah kerana tidak mampu untuk mengendalikan semua perkara dengan sendiri. Mereka juga mungkin berasa seperti ditinggalkan oleh pasangan mereka yang sedang sakit, atau berasa bahawa keperluan mereka tidak lagi dipenuhi, dan ini boleh menyebabkan rasa kebencian dan rasa bersalah yang lebih dalam lagi.

Perasaan-perasaan ini hanyalah sebahagian daripada proses menghadapi penyakit kronik dan tiada had masa yang pasti bagi proses ini. Proses penerimaan suatu penyakit kronik adalah berbeza bagi setiap individu.

Menangani penyakit pasangan anda

Akhirnya, penyakit kronik boleh menguji perkahwinan dan percintaan antara sesuatu pasangan kerana kebanyakan pasangan tidak bersedia untuk menangani penyakit pasangan mereka yang berjangka masa panjang.

Dua perkara yang paling penting yang boleh anda lakukan untuk menangani penyakit pasangan anda ialah memahami apa yang mereka lalui dan mengadakan komunikasi yang lebih baik.

Bincanglah perasaan anda dengan satu sama lain. Ini akan mengukuhkan ikatan kasih sayang dan juga membantu mengelakkan salah faham yang kecil daripada menjadi isu utama. Tambahan pula, dialog terbuka boleh membantu mengurangkan perasaan bersalah atau malu yang mungkin hadir. Dengan mendengar perasaan antara satu sama lain, anda dapat menerima perasaan ini dengan cara yang sihat dan seterusnya melepaskan dari fikiran anda.

Apabila anda telah menguasai kemahiran komunikasi, bentuklah rancangan yang baru untuk meneruskan kehidupan anda. Bincang secara terbuka mengenai semua aspek perkahwinan – bagaimana untuk menangani penyakit, bagaimana untuk mengendalikan hal kewangan, bagaimana untuk menguruskan penjagaan anak-anak atau ahli keluarga yang lain, bagaimana untuk menangani hubungan intim, bagaimana untuk mengendalikan proses pelepasan masa lalu, bagaimana untuk menangani keperluan baru yang diwujudkan oleh penyakit kronik dan bagaimana untuk memenuhi keperluan lama.

Satu lagi cara yang penting untuk menangani penyakit ialah melalui pengetahuan. Apabila anda terpaksa hidup dengan suatu penyakit yang berjangka panjang, anda akan mendapati bahawa pengetahuan itu adalah kuasa. Bekerjasama dengan doktor dan memahami dengan lebih lanjut tentang keadaan tersebut dan rawatan untuknya. Lebih banyak yang anda tahu mengenai penyakit kronik ini, maka kedua-dua anda dan pasangan anda akan terasa semua perkara berada dalam kawalan anda dan ianya akan menjadi kurang menakutkan.

Menyesuaikan diri untuk hidup dengan suatu penyakit kronik mengambil sedikit masa, kesabaran, sokongan – serta kesediaan untuk belajar dan menyumbang. Bersabar dan menyokong satu sama lain dalam masa yang sukar ini. Biarkan pasangan anda mempunyai kebebasan apabila mereka memerlukannya. Berdepan dengan cabaran yang tidak dijangka seperti ini boleh mewujudkan satu daya tahan yang anda mungkin tidak tahu ada pada diri anda. Ingatlah bahawa anda tidak keseorangan dalam perjuangan ini.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen