Pengasuhan Positif

Bersalin Cara Mudah Dan Tanpa Kesakitan

Kesakitan bersalin yang anda rasai sebenarnya mempunyai maksud di sebaliknya: setiap kontraksi akan membawa anda lebih dekat dengan kelahiran bayi anda. Sama ada anda memilih kaedah pelega kesakitan atau tidak, ia semua bergantung kepada keupayaan anda berhadapan dengan kesakitan. Pilihan cara melega kesakitan adalah di tangan anda tetapi sebelum anda mengambil keputusan, anda perlu tahu apakah pilihan-pilihan yang ada dan bagaimana ia dilakukan.

Suntikan Epidural

Satu suntikan di bahagian belakang menggunakan jarum berongga yang hujungnya melengkung. Satu jalur tiub kecil akan dimasukkan ke dalam jarum tersebut dan selepas itu jarum akan dikeluarkan. Pakar bius akan menyuntik anestetik setempat, lazimnya ubat narkotik, ke dalam tiub menyebabkan saraf di bahagian pinggul ke bawah berasa kebas. Dos ubat anestetik akan dikawal supaya kesannya tidak memanjangkan masa bersalin yang mana boleh menyebabkan bayi lebih sukar untuk diteran keluar.

Epidural akan membuatkan anda tidak terasa sakit bersalin dan anda akan sentiasa sedar supaya dapat menikmati kelahiran bayi anda. Anda mungkin berasa sejuk atau menggigil dan terpaksa baring di atas katil sahaja.

Easing-&-soothing_c

Tip Berguna:

Jangan bergerak apabila epidural sedang dijalankan. Tarik nafas sedalamnya melalui hidung dan hembus melalui mulut. Beritahu pakar bius apabila anda terasa kontraksi akan bermula supaya dia boleh menghentikan prosedur apabila anda mengalami kontraksi.

Entonoks

Campuran 50% oksigen dan 50% nitrus oksida, entonoks akan disedut melalui topeng atau corong mulut, di mana ia memberi anda kawalan sepenuhnya. Ia juga membekalkan oksigen yang baik
untuk bayi dan akan hilang dari sistem anda selepas bersalin. Bagaimanapun, ia hanya dapat mengurangkan kesakitan secara sederhana dan boleh menyebabkan anda rasa loya dan kering mulut.

Tip Berguna:

Sedut entonoks sedalamnya setiap kali anda terasa kontraksi akan bermula kerana ia mengambil masa setengah minit untuk mula bertindak menghilangkan kesakitan anda.

‘Pethidine’

Ini merupakan kaedah di mana ubat narkotik akan disuntik di punggung atau peha. ‘Pethidine’ ialah pelega kesakitan dan juga sedatif. Oleh kerana ia boleh menyebabkan anda berasa loya dan muntah-muntah, sejenis ubat lain perlu digunakan untuk mengurangkan kesan sampingan ini. Ia mengambil masa 20 minit untuk ‘Pethidine’ mula bertindak dan kesannya berbeza bagi setiap wanita – sesetengah akan berasa mengantuk, yang lainnya pula akan berasa lebih cergas. Jika digunakan hampir waktu bersalin, ia boleh menyebabkan bayi berasa mengantuk.

Tip Berguna:

Gunakan teknik pernafasan sebelum ubat tersebut mula bertindak. Bincang segala kebaikan dan kelemahan setiap pelega kesakitan dengan doktor sebelum memilih yang terbaik untuk anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen