Pengasuhan Positif

Berhubung Dengan Bayi

Tahukah anda bahawa komunikasi dengan bayi anda bermula lama sebelum kelahirannya? Anda tidak perlu menunggu sehingga si manja berada dalam dakapan anda. Seawal 16 minggu di dalam kandungan, bayi boleh mendengar suara ibunya dan bunyi lain di persekitarannya. Malah, perut ibu adalah persekitaran yang paling merangsangkan dan interaktif untuk perkembangan bayi.

Bolehkah Dia Mendengar?

Bayi tinggal dalam persekitaran yang sentiasa dipenuhi dengan bunyi-bunyian, getaran dan pergerakan. Kandungan bukanlah tempat yang sunyi seperti yang disangka, tetapi bayi yang belum lahir masih dapat mendengar suara dan bunyi dari dunia luar. Pada minggu ke-16, bayi boleh mendengar sebelum telinga terbentuk sepenuhnya pada minggu ke-24. Walau bagaimanapun, suara ibulah yang paling berkesan, kerana ia dipindahkan terus ke kandungan melalui badan ibu itu sendiri.

Berbuallah dengan bayi anda tentang apaapa sahaja! Bercerita kepadanya, bacakan buku atau puisi kepadanya, mainkan muzik yang menenangkan ataupun berbual dengannya tentang hari anda. Bayi secara semula jadinya akan membentuk hubungan yang lebih baik dengan ibunya, kerana suara ibu didengarinya setiap hari dan untuk tempoh yang lebih lama. Suami anda juga boleh mencipta hubungan sedemikian dengan kerap bercakap dengan bayi. Apabila bayi dilahirkan, ia akan mengenali dan memberi tindakbalas lebih baik kepada suara bapanya.

Sentuh Bayi Anda!

Seawal minggu ke-15, si ibu boleh merasakan pergerakan bayi, walaupun tendangan bayi tidak akan dirasa sehingga minggu ke-20. Pada tahap ini, bayi sudah boleh merasakan sentuhan dari luar kandungan. Dengan mengurut dan membelai perut anda dengan lembut, anda boleh membantu merangsangkan bayi anda supaya memberi tindakbalas. Ada ibu bapa yang bermain dengan bayi mereka: menekan dengan lembut satu bahagian abdomen dan merasakan tindakbalas dari bayi yang mencucuk kembali bahagian yang sama.

Berikannya yang Terbaik

Ketika mengandung, adalah penting bagi anda untuk mengambil pelbagai makanan untuk memberikan khasiat kepada bayi untuk membesar dengan sihat. Makanlah pelbagai buah-buahan dan sayuran serta karbohidrat seperti nasi, roti dan pasta – yang terdiri dari jenis penuh bijian. Ambil kandungan protein secukupnya melalui ikan dan produk berasaskan tenusu seperti susu, keju dan yogurt. Lebih penting lagi adalah pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi serta zink.

Nikmati Setiap Saat Bersama Anak Anda!

Ada pakar yang berpendapat bahawa semua rangsangan ini mengganggu perkembangan semulajadi otak bayi. Banyak lagi yang perlu dipelajari tentang otak yang sedang berkembang dan keadaan optimal yang diperlukannya untuk berkembang dengan baik. Tiada ibu bapa yang akan memasang muzik yang sangat kuat ke telinga bayi baru lahir ketika ia sedang tidur, apatah lagi dengan bayi yang belum lahir!

Walaubagaimanapun, bercakap dengan bayi dan bermain “mencucuk” dengannya tidak akan membawa kesan sampingan yang negatif dan pastinya membantu membina hubungan yang erat antara ibu bapa dan bayi sebagai langkah pertama ke arah komunikasi. Secara keseluruhannya, pengalaman mengandung adalah sangat menakjubkan dan perlu dinikmati setiap saatnya!

Fakta-Fakta Bayi!

  • Bayi mula peka terhadap cahaya selepas minggu ke- 26, memberi tindakbalas apabila cahaya menyinari pada abdomen, dengan peningkatan degupan jantung.
  • Bunyi yang terlalu kuat akan mengejutkan bayi, menyebabkan kadar degupan jantung dan pergerakannya berubah.
  • Pergerakan membantu merangsang perubahan emosi pada bayi. Bayi biasanya tidak bergerak ketika anda bergerak aktif dan bertindak sebaliknya sekiranya anda tidak bergerak.
  • Sebatian kimia daripada diet anda yang melalui uri ke bendalir amniotik memberikan pelbagai bau dan rasa kepada bayi apabila dia mula menelan bendalir pada minggu ke-12.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen