Pengasuhan Positif

Apabila Ibu Bapa Bertengkar

Melihat ibu bapa bergaduh mungkin merupakan satu gangguan besar bagi kanak-kanak. Walaupun tidak dapat mengelakkan pertengkaran, anda boleh mengurangkan impaknya terhadap anak anda.

Anda dan pasangan anda sedang bertengkar. Anda mula naik marah sehingga tidak sedar anak perempuan anda sedang berdiri di muka pintu ruang tamu. Dia telah mendengar kata-kata keras yang dilemparkan antara anda berdua. Adakah situasi ini pernah berlaku kepada anda? Jika ya, maka anda perlu duduk dan fikir tentang kesan pertengkaran anda dan pasangan anda terhadap anak anda.

Dia Tidak ‘Terlalu Muda’

Anda mungkin menganggap anak anda masih terlalu muda untuk memahami isi kandungan pertengkaran anda. Anda mungkin tidak tahu bahawa dia sebenarnya sudah boleh merasakan ton negatif perbualan dan ekspresi wajah anda berdua. Bukan itu sahaja, dia juga mungkin akan belajar menggunakan apa yang telah didengar daripada pertengkaran anda dan mula memanggil orang lain dengan nama yang tidak baik.

Apa yang paling teruk adalah anak anda mungkin akan mengalami gangguan psikologi yang serius jika terus menyaksikan pertengkaran antara dua orang yang paling disayanginya. Tidak kira berapa usia anak anda, dia tetap rasa tidak selesa, janggal atau sedih setiap kali mendengar pertengkaran anda berdua. Dia mungkin akan menjadi pasif-agresif, kurang keyakinan untuk bersosial, berkelakuan buruk, kencing malam, menyisihkan diri dan berasa sedih.

Anak anda akan berasa sangat stres jika terus hidup di dalam persekitaran yang tegang. Stres negatif tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada kehidupan anak anda kerana ia boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mentalnya.

Bertengkar Secara Konstruktif

Berselisihan faham dengan pasangan anda dari masa ke semasa adalah sesuatu yang normal. Isu yang lebih penting adalah cara anda bertengkar dan bukannya jika anda bertengkar ataupun tidak. Jika anak anda menyaksikan pertengkaran yang konstruktif (di mana anda dan pasangan anda bersama-sama menyelesaikan masalah sambil menunjukkan rasa sayang terhadap diri masing-masing di sepanjang perbincangan), maka anak anda juga akan belajar untuk menyelesaikan masalah secaras bertolak ansur.

Berikut merupakan beberapa cadangan bagaimana anda boleh mengawal pertengkaran dan memastikan anak anda tidak akan terjejas secara negatif akibatnya:

    1. Rasa Hormat

Ingat untuk menunjukkan rasa hormat terhadap pasangan anda. Dengar apa yang ingin disampaikan olehnya dan tahan diri daripada memanggil masing-masing dengan nama yang kurang baik, menggunakan bahasa kesat, meninggikan suara atau mengatakan sesuatu yang akan menyebabkan anda menyesal nanti dan lebih teruk lagi, percubaan untuk meggunakan kekerasan.

    1. Fokus pada Penyelesaian

Ingatlah bahawa anda sedang cuba mencari penyelesaian. Anda tidak perlu membuktikan bahawa pasangan anda yang salah dan anda yang betul. Berundurlah sedikit jika ia dapat mengecilkan api yang menyemarakkan pertengkaran. Apabila sudah bertenang, luangkanlah masa untuk duduk berbincang secara lebih baik.

    1. Jangan Berpihak!

Jangan libatkan anak anda di dalam konflik antara anda berdua. Meminta anak anda untuk berpihak antara anda dan pasangan adalah sesuatu yang tidak adil dan akan mengakibatkan anak anda berasa sangat sedih.

    1. Belajar Memohon Maaf

Mohon maaf kepada pasangan anda di hadapan anak anda setelah bertindak secara keterlaluan. Biar anak anda melihat anda bertanggungjawab untuk kata-kata anda sendiri.

    1. Berbincang dengan Anak Anda

Anak anda mungkin menganggap dirinya sebagai pencetus konflik bagi sesetengah pertengkaran anda. Dia juga mungkin menganggap bahawa anda berdua akan berpisah. Oleh itu, cubalah berbincang dengan anak anda selepas suatu “pertengkaran”. Jelaskan padanya bahawa mama dan papa masih saling menyayangi walaupun ada kalanya bercanggahan pendapat.

Ingatlah bahawa anda merupakan model peranan anak anda dan dia akan sentiasa memandang tinggi terhadap anda. Jadi, berusahalah untuk sentiasa menjadi contoh yang baik kepada anak anda dengan cuba mengawal angin dan menguruskan kemarahan anda. Jika anda benarbenar perlu ‘bertengkar’ dengan pasangan anda, pastikan tiada siapa akan mendengarnya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen