Anestesia epidural merupakan satu cara untuk memberi anestesia dengan menyuntiknya ke dalam ruang epidural tulang belakang. Ia menghalang isyarat sakit daripada sampai ke otak. Ia adalah satu kaedah mengawal/melegakan kesakitan yang biasa digunakan oleh wanita ketika melahirkan bayi. Epidural dilakukan oleh seorang pakar bius.
Pemberian Anestesia Setempat
- Anestesia disuntik pada bahagian bawah tulang belakang.
- Setelah kebas, kateter (tiub plastik) dimasukkan ke dalam ruang epidural menggunakan jarum lain.
- Anestetik atau ubat pelali dipam ke dalam melalui kateter apabila diperlukan.
- Epidural mengandungi campuran ubat pelali, biasanya sejenis anestetik, bupivacaine atau levobupivacaine, dan sejenis opioid (fentanyl).
- Kesannya dirasai selepas10-20 minit dan boleh bertahan sehingga 2-3 jam kemudian.
Bila ia Perlu Diambil?
Ia boleh diberi pada bila-bila masa semasa proses bersalin tetapi biasanya ianya diberi apabila serviks mula terbuka 5-6 sm – pada masa ini sakit bersalin (pengecutan) sudah bermula.
Mitos Tentang Epidural
Epidural meningkatkan kemungkinan pembedahan Caesarean
Kajian oleh Sekolah Perubatan Feinberg terhadap 750 orang ibu-ibu yang pertama kali melahirkan bayi mendapati bahawa tiada hubung kait di antara pemberian epidural dan kekerapan pembedahan Caesarean.
Anda tidak tahu bila untuk meneran
Jangan bimbang, doktor dan jururawat akan memberitahu anda bila untuk meneran. Memberhentikan epidural pada penghujung proses kelahiran tidak akan membantu kerana ia lebih menyakitkan. Ia juga tidak memudahkan proses kelahiran.
Epidural Sentiasa Berkesan
Tidak, tetapi ia berkesan bagi kebanyakan wanita. Ini kerana adakalanya, anestetik tersebut tidak dimasukkan dengan betul. Ia jarang berlaku dan boleh diperbetul tanpa mengulangi prosedur.
Pilihan Lain
Anestesia setempat – mengebaskan kawasan yang sakit berhampiran dengan vagina jika anda perlu meluaskan pembukaan tetapi ia tidak memberi kelegaan semasa bersalin.
Opioid – opioid dititis ke dalam aliran darah atau disuntik ke dalam otot. Keberkesanan tidak seperti epidural namun ia memberi sedikit kelegaan.
Ubat penenang – boleh mengurangkan kebimbangan namun jarang digunakan. Ia tidak melegakan kesakitan semasa bersalin.
Nitrus oksida (gas ketawa) – disedut menggunakan topeng muka dan berkesan dalam beberapa minit. Persepsi anda terhadap kesakitan mungkin berubah tetapi bukan semua kesakitan dihilangkan.
Stimulasi elektrik saraf transkutaneus – ia merupakan terapi tanpa menggunakan ubat dan menggunakan arus elektrik voltan rendah untuk melegakan kesakitan.
Pilihan Kaedah Bukan Perubatan untuk Melegakan Kesakitan
- Bersenam perlahan-lahan secara tetap. Lebih banyak anda bergerak semasa hamil, tubuh anda akan lebih bersedia untuk melahirkan bayi.
- Pelajari bagaimana untuk bernafas semasa bersalin
- Bernafas dengan betul dapat mengurangkan kesakitan yang disebabkan oleh pengecutan dan ia membantu anda relaks.
- Sokongan pasangan anda (atau orang tersayang) semasa proses bersalin dapat mengurangkan keresahan.
- Mengalih perhatian dengan mendengar lagu kegemaran anda boleh membantu mengalih perhatian anda daripada kesakitan.
- Pek panas atau sejuk, urutan, mandi pancuran air suam atau berendam dalam mandian suam. Pilihan-pilihan tersebut sering diguna jika anda bersalin di rumah dan dibantu oleh doula terlatih.
Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.
Komen