Pengasuhan Positif

Merawat Kaki Bengkok (Clubfoot)

Apakah Kaki Bengkok?

Ia merupakan kecacatan dari lahir yang melibatkan sebelah atau kedua-dua belah kaki. Kaki yang terjejas terpusing ke dalam. Sekitar 1 dalam 1000 bayi dilahirkan dengan kaki bengkok. Kanak-kanak yang mengalami kaki bengkok yang tidak dirawat akan mengalami kesakitan dan kesukaran berjalan sepanjang hayat mereka.

bayi-kaki-bengkok

Penyebab clubfoot tidak diketahui. Ia mungkin disebabkan oleh gabungan beberapa faktor yang bertindak bersama (contohnya faktor persekitaran dan genetik). Namun, dengan rawatan, kebanyakan pesakit pulih sepenuhnya semasa kecil dan boleh melalui kehidupan yang normal.

Bagaimana kaki bengkok dirawat?

Kini kaedah Ponseti diterima sebagai rawatan pilihan kerana kebolehpercayaan dan keberkesanannya (9 daripada 10 berjaya dirawat). Rawatan lazimnya bermula dalam tempoh satu minggu pertama kelahiran dan terdiri daripada manipulasi dan cast plaster setiap minggu.

Secara purata, 5-7 cast plaster diperlukan namun bagi sesetengah bayi yang mempunyai kaki yang lebih ketat, mungkin memerlukan tempoh yang lebih lama untuk dibetulkan. Dalam kalangan kebanyakan bayi, kord tumit masih ketat walaupun dengan cast plaster dan ia perlu dipotong (tenotomi). Selepas tenotomi, cast plaster akan dipasang selama 3-4 minggu lagi.

bayi-kaki-bengkok-plaster

Selepas cast plaster ditanggalkan, kasut dan palang (foot abduction orthosis) akan dipakai sekurang-kurangnya selama 23 jam sehari (kecuali semasa mandi) untuk mengekalkan kaki kepada posisi yang betul. Pemakaian kasut sepenuh masa selama 3 bulan adalah disarankan, kemudian baharu dipakai di sebelah malam atau ketika tidur sahaja sehingga mereka mencapai umur mereka boleh berjalan (9-15 bulan). Pemakaian di sebelah malam disarankan sehingga berumur 4 tahun. Pematuhan adalah penting kerana kecacatan boleh berulang jika tempoh pemakaian kasut tidak mencukupi.

Kaki bengkok boleh diluruskan. Kanak-kanak tidak harus dibiarkan tanpa mendapat rawatan

Anak anda boleh dirawat dengan jayanya menggunakan kaedah Ponseti. Pembedahan minimum atau tiada pembedahan diperlukan kecuali bagi kes-kes rumit. Berbincanglah dengan pakar ortopedik secepat mungkin jika anak anda mengalami kaki bengkok.

kaki-bengkok-sebelum-dan-selepas-rawatan

perayaan-hari-clubfoot-sedunia

Hari Clubfoot Sedunia diraikan setiap tahun sekitar 3 haribulan Jun sebagai tanda penghormatan kepada Dr. Ponseti. Sambutan Hari Clubfoot Sedunia yang pertama di Malaysia telah diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Mei 2015. Dianjurkan oleh Puan Zarinawati Saad dan ibu bapa lain yang mempunyai anak-anak yang mengalami clubfoot, mereka telah memberi kesedaran dan sokongan kepada ramai ibu bapa Malaysia. Mereka boleh dihubungi melalui blog mereka (clubfootmalaysia.blogspot.com).

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen