Corporate Sponsor
  • Mengatasi Kemurungan
  • Emosi Yang Naik Turun
  • Hamil Dengan Anak Kembar Dua, Tiga atau Lebih?
  • Menantikan Kelahiran Anak Kembar?
  • Siapa Yang Akan Menjaga Saya?
  • Utamakan Keselesaan & Keselamatan
  • Hamil dan … Cemas?
  • Menikmati tempoh hamil dengan sihat & gembira
  • Hamil? Kekalkan kecergasan
  • Jagalah Tulang Belakang Anda
  • Menambah berat badan secara sihat
  • Menjaga diri dan kandungan anda
  • Pemeriksaan dan ujian-ujian antenatal
  • Sakit dalam kehamilan
  • Miliki kulit sihat sepanjang kehamilan
  • Mengandali Perubahan semasa hamil
  • Timbang berat sebenar


  • Penjagaan Kehamilan
  • Pemakanan Kehamilan
  • Bersalin & Kelahiran
  • Keadaan Perubatan
  • Penjagaan Selepas Bersalin
  • Asuhan
  • Suami Isteri
  • Kewangan
   


Mengatasi Kemurungan

Perasaan murung selepas bersalin adalah satu kebiasaan, tetapi membiarkan perasaan itu menguasai diri boleh memudaratkan. Ketahui cara untuk mengatasi kemurungan sebelum ia menguasai anda.

Oleh Dr Tan Ay Eeng, Pakar Runding Obstetrik & Ginekologi.

 

Kemurungan selepas bersalin, juga dikenali sebagai ‘angin meroyan’, adalah satu bentuk tekanan yang biasa dialami oleh ibu yang baru melahirkan bayi. Ia biasanya dialami dalam masa dua minggu pertama selepas bersalin. Tetapi ingatlah bahawa angin meroyan bukan suatu penyakit dan ia akan hilang dengan sendirinya.

Apakah Puncanya?

Punca sebenar angin meroyan tidak diketahui, tetapi ramai percaya bahawa perubahan fizikal dan hormon yang dramatik dalam badan ibu mungkin mencetuskan perubahan kimia dalam otak yang mengakibatkan kemurungan.

Suami Patut Ingat!

Gejala angin meroyan tidak begitu teruk, tetapi ia boleh membawa mudarat kepada isteri anda. Wanita yang umumnya merasa rendah diri, kekurangan sokongan emosi, dan mempunyai tanggapan salah terhadap peranan sebagai ibu lebih berisiko mengalami kemurungan selepas bersalin. Awasi gejala berikut jika anda rasa isteri anda mengalami angin meroyan:
• Merasa tertekan
• Sukar tidur
• Tidak gemar melakukan aktiviti yang menyeronokkan
• Merasa serba kekurangan sebagai ibu
• Lesu

Menghindari Kemurungan

Selepas bersalin, anda mungkin merasa letih lesu, tidak selesa dan kurang tidur. Langkah berikut boleh membantu anda mengatasi kemurungan:

• Dapatkan tidur secukupnya. Kekurangan tidur boleh memburukkan lagi keadaan. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa kekurangan tidur menyebabkan pusat emosi dalam otak menjadi 60% lebih reaktif. Jadi, carilah masa untuk berehat. Melelapkan mata walau sepuluh minit sekalipun dapat menceriakan anda.

• Bercakap dengan suami. Jangan malu untuk berkongsi perasaan anda dengan suami. Bila anda berkongsi apa yang anda rasakan, anda akan merasa kurang tertekan. Malah, anda boleh menyertai kumpulan sokongan. Kumpulan sokongan boleh membantu anda menangani perasaan tertekan dan meluahkan perasaan dan emosi anda dalam suasana yang berpendidikan dan sentiasa memberi sokongan.

• Menangislah jika anda ingin. Jika anda rasa ingin menangis, menangislah sepuas hati. Menangis adalah satu bentuk komunikasi. Sama ada anda percaya atau tidak, menangis adalah satu terapi yang boleh membantu anda melegakan ketegangan dan tekanan. Menahan perasaan hanya akan memanjangkan kemurungan.

• Makan makanan yang sihat. Apa yang anda makan boleh mempengaruhi mood anda. Hasil kajian menunjukkan bahawa makanan dengan kandungan omega-3 yang tinggi seperti kacang soya, walnut, tauhu dan sardin boleh menaikkan mood anda.

Bagaimana Kalau Kemurungan
Bertambah Buruk?

Jika kemurungan tidak hilang dalam dua minggu, besar kemungkinan anda akan mengalami sesuatu yang lebih teruk, dinamakan tekanan lepas bersalin atau kemurungan postnatal. Segera dapatkan bantuan perubatan kerana jika dibiarkan berlanjutan, ia boleh membawa kesan negatif dan memburukkan keadaan hingga menjejaskan pengalaman anda sebagai ibu.

Emosi Yang Naik Turun

Kehamilan boleh membuatkan anda ketawa, dan kemudiannya menangis tanpa sebab. Ini dikenali sebagai perubahan mood.

Oleh Profesor Dr Tan Ay Eeng, Pakar Runding Obstetrik & Ginekologi.

 

Kehamilan merupakan suatu pengalaman menggembirakan mahupun yang dipenuhi tekanan, terutama bagi bakal ibu baru. Anda sememangnya rasa tidak sabar menantikan kelahiran bayi anda, tetapi ada kalanya, anda rasa bimbang jika anda boleh memberikan yang terbaik. Mood anda pula sering berubah, daripada satu keterlaluan ke keterlaluan yang lain.

Walau bagaimanapun, hanya sebilangan kecil ibu hamil yang mungkin mengalami perubahan mood sementara ini. Namun, terdapat beberapa cara untuk menghadapinya.

Mengapa Bermuram?

Menurut Persatuan Kehamilan Amerika (APA), perubahan mood diakibatkan paras hormon (estrogen dan progesteron) yang naik turun. Oleh itu, gelak ketawa anda boleh bertukar kepada tangisan yang tidak terkawal dalam masa beberapa saat sahaja.

Bagaimana untuk Mengawalnya?

Anda tidak boleh menghentikan perubahan mood tetapi anda masih boleh mengawalnya. Di sini terdapat beberapa cara untuk melakukannya:

  • Uruskan stres anda. Pastikan anda banyak berehat. Dapatkan tidur selama sekurang-kurangnya 8 jam setiap hari. Mengekalkan diet yang seimbang dan bersenam dengan lebih kerap juga akan membantu.
  • Berseronoklah! Lakukan aktiviti yang menggembirakan anda seperti menonton wayang bersama kawan atau manjakan diri anda di spa.
  • Jangan pendam perasaan anda. Berkomunikasi dengan pasangan anda. Kongsi segala kerisauan atau perasaan anda tentang kehamilan bersamanya. Dengarlah luahan perasaan dan pandangan pasangan anda. Berbincang boleh membantu mengurangkan stres anda.
  • Kukuhkan hubungan anda dengan suami anda. Habiskan lebih banyak masa bersama suami anda. Jika boleh, pergilah bercuti bersama-sama. Hubungan yang erat akan memberi anda sokongan yang diperlukan semasa kehamilan anda.
  • Jangan bekerja terlalu kuat. Ambil masa untuk berehat. Bekerja terlalu kuat hanya akan menambah stres anda.

Bagaimana Jika Tiada Sebarang Perubahan?

Walaupun telah mencuba segala-galanya, namun perubahan mood anda masih lagi tidak berubah. Jika keadaan ini tidak berubah melebihi 2-3 minggu, anda mungkin mengalami kemurungan, atau dikenali sebagai kemurungan antenatal. Ia adalah sementara dan terdapat bantuan pakar untuk membantu menghadapinya. Oleh itu, berbincanglah bersama doktor anda mengenainya.

Tanda-tanda Kemurungan Termasuk:

  • Perubahan tabiat makan.
  • Mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian.
  • Rasa diri tidak berguna.
  • Gangguan tidur.
  • Lebih mudah rasa rengsa.

Mendapatkan rawatan adalah penting jika anda menunjukkan sebarang daripada gejala ini. Anda tidak akan kerugian apa-apa jika mendapatkan bantuan profesional.

Membuat keputusan.

Pengalaman perubahan mood ketika mengandung adalah kurang lazim. Yang lebih lazim adalah perubahan mood selepas kelahiran. Walaubagaimana pun, tidak kira bila anda mengalami perubahan mood ini, pastikan anda tidak membuat keputusan penting seperti berhenti bekerja, berpindah rumah dan sebagainya. Keputusan yang dibuat mungkin tidak berpadanan dengan faktor pengaruh yang lain.

Hamil Dengan Anak Kembar Dua, Tiga atau Lebih?
Kebanyakkan ibu menganggap hamil dengan seorang anak sudah merupakan
suatu cabaran. Anda mungkin akan menghadapi cabaran yang lebih mencabar
jika hamil dengan anak kembar dua, tiga atau lebih.

 

Apakah Yang Menyebabkan Kehamilan Anak Kembar Dua, Tiga, Empat atau Lebih?
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan kehamilan berganda (kembar dua, tiga atau lebih) telah meningkat pada kadar yang sangat tinggi. Lihat sahaja liputan akhbar terkini tentang kelahiran anak kembar lapan yang sangat luar biasa di Amerika Syarikat. Menurut laporan, ibu kembar lapan tersebut, Nadya Suleman menjalani rawatan pensenyawaan in-vitro (IVF). Ia merupakan teknologi bantuan reproduksi yang membantu wanita-wanita yang mengalami masalah kesuburan dan semakin lazim dijalankan pada hari ini. Kehamilan berganda menjadi lebih kerap daripada

kemajuan rawatan ini. Berikut adalah beberapa sebab-sebab natijah lain yang boleh menyebabkan kehamilan berganda:
 
  • Ramai wanita yang kini melewatkan kehamilan hingga mencecah usia 30an dan seterusnya. Ini mungkin membawa kepada perubahan hormon yang boleh mengakibatkan lebih daripada satu telur dihasilkan pada sesuatu masa.
  • Peningkatan penggunaan ubatan kesuburan seperti menotropin dan klomifen meningkatkan bilangan kehamilan yang melibatkan lebih daripada satu bayi.
  • Kemungkinan mengalami kehamilan berganda juga meningkat jika ibu pernah atau mempunyai sejarah keluarga yang hamil dengan anakanak kembar dua atau tiga yang seiras.
Persenyawaan In vitro (IVF)

Apakah ia sebenarnya? Rawatan kesuburan ini membantu meningkatkan peluang penghamilan dengan menyemai telur-telur dan mensenyawakan secara in vitro – di dalam tabung uji. Satu atau lebih telur disenyawa akan dipindahkan semula ke dalam rahim ibu, dengan harapan ibu tersebut akan dapat membawa sekurang-kurangnya sebiji telur tersebut hingga cukup tempoh.

Risiko: Wanita-wanita yang melalui rawatan ini perlu tahu risikonya. Oleh kerana prosedur ini melibatkan pemindahan lebih daripada sebiji telur yang disenyawakan di dalam rahim, terdapat kemungkinan besar menghasilkan anak kembar dua atau lebih. Terdapat bukti di mana 1 dalam 4-5 kehamilan IVF adalah kehamilan berganda.

Cabaran-cabaran Yang Mungkin Akan Anda Hadapi
Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Madya Dr Tan Ay Eeng menerangkan pengalaman ibu kehamilan berganda adalah lebih mencabar berbanding ibu kehamilan tunggal. “Mereka sememangnya memerlukan tahap penjagaan yang lebih tinggi sepanjang kehamilan,” kata beliau. Dr Tan turut mengetengahkan empat cabaran unik yang mungkin akan anda hadapi apabila hamil dengan anakanak kembar atau berganda:

Emosi. Anda mungkin akan rasa bimbang dan kurang pasti. Anda juga mungkin kurang keyakinan untuk mengendali lebih daripada seorang bayi pada sesuatu masa. Emosi bercampur aduk ini memerlukan sokongan emosi yang lebih daripada pasangan dan ahli keluarga lain.

Tanda-tanda kehamilan. Anda mungkin mengalami tanda-tanda yang lebih memuncak seperti kenaikan berat badan yang banyak, regangan berlebihan pada dinding abdomen, sukar tidur, kebengkakan kaki dan sebagainya.

Penjagaan antenatal. Anda perlu memberi perhatian yang lebih terhadap penjagaan kehamilan anda dengan kunjungan doktor yang lebih kerap. Anda juga perlu bersedia untuk dimasukkan wad untuk berehat atau penjagaan lain apabila timbul sebarang komplikasi.

Komplikasi. Anda mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi komplikasi seperti anemia, hipertensi, diabetes melitus atau kencing manis, kelahiran pramatang, ketidaknormal kongenital pada fetus, kerencatan tumbesaran dan peningkatan peluang untuk melahirkan anak menerusi pembedahan Caesarean.

Menyusu anak kembar dua atau lebih masih boleh dilaksanakan menerusi teknik-teknik penyusuan yang betul serta sokongan daripada pasangan dan ahli-ahli keluarga yang lain.

Cabaran-cabaran Yang Mungkin Akan Dihadapi oleh Bayi-bayi
“Saya sememangnya sentiasa kagum dengan kesabaran yang ditunjukkan oleh ibubapa dan selalunya hasil jangka panjangnya seringkali memuaskan”, kata Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Dato’ Dr Musa Mohd Nordin. Selain ketabahan ibu bapa, sikap keberanian dan keinginan untuk hidup yang ditunjukkan oleh bayi kecil walaupun menghadapi kesukaran, memberi inspirasi kepada beliau.

Komplikasi fetus. Bayi kembar berganda mungkin mengalami masalah yang lebih unik seperti transfusi kembar ke kembar – salah seorang bayi menjadi pucat dan seorang lagi menghadapi masalah menerima darah berlebihan daripada plasenta dikongsi. Bayi-bayi ini juga lebih berkemungkinan untuk mengalami tumbesaran terbantut semasa di dalam rahim.

Kelahiran. Terdapat kemungkinan tinggi berlakunya kelahiran pramatang. Bayi-bayi kembar mempunyai kemungkinan enam kali lebih tinggi berbanding bayi-bayi tunggal.

Komplikasi bayi. Jika bayi kembar dilahirkan dengan organ-organ pramatang, peparu yang belum matang boleh membawa kepada sindrom sesak pernafasan (RDS). Selain itu, mereka mungkin berisiko tinggi untuk lahir dengan hati pramatang yang membawa kepada penyakit kuning atau jaundis. Komplikasi sebegini mungkin memerlukan bayi dimasukkan ke dalam unit penjagaan rapi neonatal (NICU).

Kecacatan semasa lahir. Kejadian berlakunya kecacatan kongenital adalah 20% lebih tinggi dalam kehamilan berganda. Anomali jantung adalah kategori terbesar dalam kecacatan. Jenis kecacatan yang luar biasa seperti kembar bercantum (kembar siam) dan akardia (ketiadaan jantung) amat unik pada anak kembar. Kecacatan yang biasa seperti clubfoot (posisi kaki yang abnormal) dan lebihan jari atau jari kaki yang kurang serius.

Cabaran-cabaran Yang Mungkin Akan Dihadapi oleh Keluarga
“Kehamilan berganda datang bersama kegembiraan berganda, pilihan berganda dan juga cabaran berganda dalam kombinasi pelbagai perkara seperti pengurusan masa, kewangan, kesihatan, hubungan suami isteri dan banyak lagi,” menurut Dr Anjli Doshi-Gandhi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Malaysia.

Sememangnya ibu bapa hari ini yang mempunyai anak kembar dua atau lebih akan mengalami kesukaran, terutamanya jika kedua-dua suami isteri bekerja keras mengimbangi kerjaya, masa keibubapaan dan lebih-lebih lagi jika mereka tinggal bersendirian. Pasangan suami isteri perlu bekerja lebih keras untuk berkongsi tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka kerana setiap anak patut menerima kasih sayang, penjagaan, penerimaan yang sama rata serta asuhan, untuk membesar dengan sihat dan sejahera.

“Oleh kerana kami mempunyai dua pasang anak kembar, kami menghadapi masalah bebanan kewangan yang besar. Biasanya kami akan merancang belanjawan setiap bulan kerana kami perlu berhati-hati dalam perbelanjaan. Kami juga tidak membeli barangan daripada sebarangan kedai tetapi mencari produk yang paling murah. Selain daripada cermat berbelanja, kami percaya pelaburan insurans kesihatan untuk kanak-kanak seawal mungkin adalah amat penting. Kita tidak akan tahu bila sesuatu kecemasan akan berlaku,” kongsi Megat Syahrul Rizal Megat Ismail.

Ibu Bapa:
Megat Syahrul Rizal Megat Ismail & Radin Diana R Ahmad
Anak kembar:
Megat Amer Hakim & Putri Amera Syahirah (3½ tahun);
and Megat Ahmad Haikal & Putri Aqeela Hana (6 bulan)

“Keluarga isteri saya banyak memberi sokongan dan telah banyak membantu. Pada beberapa bulan pertama, isteri saya telah menghadapi cabaran, terutamanya semasa di dalam pantang. Kami bernasib baik kerana mempunyai keluarga yang tinggal berdekatan. Dulu, saya kerap bermain tenis tetapi kini saya lebih banyak menghabiskan masa dengan keluarga saya. Saya percaya, sebagai satu keluarga dan yang paling penting, sebagai suami isteri, kami perlu bekerja sama memberi sokongan sesama sendiri, bergilir-gilir menjaga anak kembar dan anak lelaki sulung kami. Saya rasa keadaan akan menjadi lebih mudah apabila anak-anak kami semakin membesar,” kongsi Mohd Azmir Ramli.

Ibu Bapa:
Mohd Azmir Ramli & Azeleen Binti Mohd Razali
Anak kembar:
Firash Hameez & Farish Hadeef (9 bulan)

“Kami tidak pernah menyangka akan mempunyai anak-anak kembar. Ia suatu kejutan gembira kerana kami mempunyai empat orang anak sebelum kelahiran anak kembar kami. Selain teruja dengan kembaran, kami sentiasa menghargai mereka sebagai individu-individu tersendiri. Seorang akan sentiasa membawa buku ke mana jua (termasuk tidur) dan seorang lagi pula gemar mewarna dan melukis. Kedua-dua mereka mempunyai minat berbeza dan kami tidak membandingkan mereka. Satu perkara menarik dengan anak kembar adalah segalagalanya menjadi indah. Segala stres dan keletihan dirasai selepas bekerja terus hilang apabila melihat mereka,” kongsi Farehana.

Ibu Bapa:
Mohd Naim b. Mohammad & Farehana Hanapiah
Anak kembar:
Azra Sofiyah & Ayra Sofiyah (5 tahun)

“Sebagai adik-beradik kembar, ramai menganggap kami mempunyai banyak persamaan – keluar bersama-sama, hobi yang sama, kawankawan yang sama dan sentiasa bersetuju dalam semua perkara! Mereka menganggap kami tidak mempunyai kehidupan kami sendiri. Keperibadian kami semakin berbeza apabila kami membesar. Saya lebih gemar belajar tetapi adik saya berlainan. Kerjaya kami berbeza dengan saya dalam bidang kreatif dan adik pula dalam bidang kejuruteraan. Kami mempunyai identiti tersendiri kerana cemerlang dalam bidang yang berbeza,” kongsi Timothy.

Anak kembar:
Timothy Khor & Jed Khor (19 tahun)

Satu ataupun Lebih
“Keluarga yang sedang menunggu kelahiran anak kembar dua, tiga atau lebih biasanya dijangka menghadapi lebih cabaran apabila melalui peringkat kehamilan, semasa kelahiran dan seterusnya,” kata Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Pediatrik.

Walaupun anda tidak boleh mengawal kehamilan tunggal ataupun berganda, namun anda masih boleh bersiap sedia untuk apa yang bakal menanti. Ianya normal untuk merasa bingung dan bimbang setelah mendapat tahu anda akan mendapat anak kembar berganda. Anda juga akan memikir cara anda akan mengendalikan cabaran perubatan, fizikal dan psikologi dengan anak kembar dua atau lebih. Kuncinya adalah pengetahuan. Sebagai ibu bapa, anda bertanggungjawab untuk mempelajari sebanyak mungkin supaya lebih bersedia menghadapi kehamilan, kelahiran dan penjagaan bayi-bayi anda. Ini adalah sebahagian daripada persediaan untuk masa keibubapaan.

Pasangan yang merancang untuk hamil perlu mempertimbangkan untuk mempunyai anak pada usia yang lebih muda, lebih baik sebelum mencecah usia 35 tahun. Ini adalah untuk mengurangkan risiko kemungkinan mengalami komplikasi kehamilan apabila hamil lewat usia. “Jika anda memilih untuk menjalani pensenyawaan in-vitro (IVF), anda perlu memahami prosedur ini akan meningkatkan peluang untuk kehamilan bayi kembar berganda. Walau bagaimanapun, saya yakin ia masih merupakan perjalanan ke arah zaman ibubapaan yang hebat bagi anda dan pasangan anda!” kata beliau.

Menantikan Kelahiran Anak Kembar?
Jika anda hamilan kembar atau berganda, anda memerlukan
tahap penjagaan yang lebih tinggi.

Oleh Profesor Madya Dr Tan Ay Eeng, Pakar Obstetrik dan Ginekologi.

 

Sebagai seorang ibu yang sedang melalui kehamilan kembar atau berganda, anda dinasihatkan untuk menjaga diri untuk memastikan kehamilan yang sihat. Anda boleh menumpukan lebih perhatian terhadap diet anda, keperluan pemakanan, senaman dan anak-anak anda yang belum dilahirkan.

Sila dapatkan nasihat doktor tentang cadangan dan nasihat khusus tentang cara terbaik menguruskan kehamilan berganda anda. Anda juga boleh mengikuti garis panduan berikut bagi membantu anda menjaga anak kembar dan diri anda dengan lebih baik lagi.

Perkara-perkara Penting Untuk Penjagaan Yang Lebih Baik

A. Penjagaan Antenatal
Dapatkan nasihat daripada pakar perinatologi atau pakar

obstetrik dan ginekologi yang berpengalaman. Mereka berpakaran dalam kehamilan yang berisiko tinggi. Mengikut prinsipprinsip penjagaan tertentu akan banyak membantu anda.
 

Jalani pemeriksaan ultrasound secara berkala. Ini sangat penting dalam kehamilan berganda bagi memantau sebarang ketidaknormalan.

B. Ubatan/Suplemen
Dapatkan nasihat doktor. Ini adalah penting kerana isipadu darah anda mungkin meningkat dengan banyak dengan kehamilan berganda. Juga dapatkan nasihat berkaitan sukatan ubatan anda. Minta jika anda perlukan suplemen zat besi kerana paras zat besi anda perlu sentiasa tinggi sepanjang kehamilan.

C. Diet
Tingkat berat badan dengan secukupnya. Ibu kepada anak kembar akan menambah berat kira-kira sebanyak 18kg secara keseluruhan. Anda tentu akan menambah lebih berat pada trimester pertama. Berat ideal anda boleh dicapai pada kadar sekurang-kurangnya setengah kilogram seminggu. Tetapi awasi diet anda kerana keterlaluan lebihan berat juga tidak sihat dan akan menyebabkan masalah lain.

Sentiasa hidrat. Pastikan anda minum air secukupnya.

D. Aktiviti Fizikal
Bersenam secara berhatihati. Kehamilan kembar atau berganda adalah kehamilan yang berisiko tinggi. Bincanglah bersama doktor anda untuk mengetahui senamansenaman yang selamat untuk anda.

Rehat secukupnya. Anda semestinya memerlukan rehat lebih daripada ibu mengandung yang lain. Pertimbangkan mengambil cuti bersalin daripada kerja yang lebih awal.

E. Emosi
Bersedia untuk membuat lebih banyak perubahan di dalam kehidupan – (cth. kerja, tanggungjawab, dsb). Anda perlu mengetahui bagaimana kehamilan berganda akan banyak memerlu dan menggunakan emosi dan fizikal anda.

Sertai kumpulan sokongan kehamilan berganda. Anda mungkin menghadapi masalah-masalah khusus dan ia membantu untuk berkongsi isu-isu fizikal, emosi, kehamilan dan sosial yang anda alami.

Siapa Yang Akan Menjaga Saya?

Penjaga obstetrik pilihan anda dapat memberi kesan mendalam
kepada anda sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran.

Oleh Prof Madya Dr Tan Ay Eeng, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi

 

Kehamilan merupakan masa yang kritikal. Selain terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal dan emosi, anda juga bimbang tentang keadaan bayi yang sedang membesar di dalam rahim anda. Tiada benda yang lebih bernilai pada saat ini selain mendapatkan ahli perbidanan yang berkelulusan dan berpengalaman serta dapat menjaga malah memberi tunjuk ajar kepada anda sepanjang tempoh sembilan bulan kehamilan.

Terdapat 3 kategori penjaga perbidanan di Malaysia: doktor, bidan dan pakar obstetrik dan ginekologi.


Perkhidmatan, peranan dan kesediaan setiap kategori juga berbeza. Pilihan anda bergantung kepada keperluan, jangkaan, lokasi dan keutamaan peribadi anda. Di sini terdapat beberapa perkara yang boleh membantu anda:

Adakah anda menghadapi kehamilan berisiko tinggi atau rendah?
Kehamilan berisiko rendah boleh diuruskan oleh kebanyakan doktor dan bidan. Doktor pakar yang terlatih dalam sistem reproduktif wanita boleh menguruskan kehamilan berisiko tinggi dan rendah serta menjalankan pembedahan Caesarean. Bagi kehamilan berisiko amat tinggi atau sukar, anda akan dirujuk kepada pakar obstetrik yang arif dalam perubatan ibu dan janin.

Siapakah yang anda boleh rujuk di tempat anda?
Pilihan anda untuk ahli perbidanan biasanya bergantung kepada kawasan tempat tinggal anda. Pada kebiasaannya, sukar untuk menemui panel pakar di kawasan luar bandar dan pekan kecil, namun anda boleh berjumpa dengan doktor di semua klinik yang berdekatan. Bidan pula berada di klinik klinik kerajaan yang dikenali juga sebagai Klinik Kesihatan Ibu & Kanak-Kanak (KKIK).

Berapakah anggaran perbelanjaan anda?
Kos perbelanjaan bergantung kepada kelulusan ahli perbidanan tersebut. Biasanya, perkhidmatan bidan adalah yang paling murah manakala perkhidmatan pakar adalah sebaliknya.

Anda boleh memeriksa kos perbelanjaan daripada klinik ke klinik, hospital ke hospital. Struktur kos perbelanjaan untuk klinik swasta dan kerajaan juga turut berbeza.

Adakah anda prihatin terhadap penjagaan lanjutan?
Sesetengah wanita memilih untuk merujuk kepada seorang ahli perbidanan sahaja dan sesetengah wanita lain tidak mempunyai pilihan tertentu. Sekiranya anda memilih salah satu dari yang diatas, anda mungkin memerlukan perkhidmatan ahli perbidanan tetap yang akan memantau anda untuk sepanjang tempoh kehamilan, bersalin dan penjagaan selepas bersalin.

Doktor biasa atau bidan pula boleh memberi penjagaan kehamilan kepada anda tetapi bukan ketika bersalin atau penjagaan selepas bersalin. Ambil KKIK klinik sebagai contoh. Wanita hamil akan dipantauoleh bidan dan selepas itu akan dihantar kepada doktor di hospital untuk proses kelahiran. Kemudianmereka akan dirujuk semula ke KKIK untuk rawatan penjagaan selepas bersalin.

Apakah kemudahan yang disediakan?
Selain kelulusan, anda juga perlu tahu keadaan sesebuah klinik atau hospital. Adakah ia selamat? Adakah anda selesa disana? Adakah ia mudah dikunjungi? Apakah kemudahan yang disediakan? Adakah terdapat kemudahan untuk kes kecemasan seperti pembedahan untuk si ibu atau ventilator untuk bayi kurang matang? Lakukan lawatan dan lihat sendiri kemudahan yang ada. Sesetengah hospital mempunyai kelas antenatal di mana anda dibawa melihat kemudahan di premis mereka.

 
APAKAH PILIHAN ANDA?
Pertama sekali, anda perlu memilih tempat yang sesuai untuk melahirkan bayi anda. Sebagai contoh, sekiranya anda bukan orang tempatan dan bekerja di Kuala Lumpur; adakah anda mahu bersalin di Kuala Lumpur atau pulang ke kampung halaman anda? Cara yang terbaik dan paling mudah untuk membuat keputusan anda ialah dengan bertanya kepada orang disekeliling anda. Dapatkan maklumat tentang kemudahan yang disediakan daripada teman dan ahli keluarga anda. Lawati klinik atau hospital untuk mendapat gambaran awal tentang perkara tersebut. Anda juga boleh menghubungi Persatuan Hospital Swasta Malaysia untuk mendapatkan senarai hospital swasta atau lawati laman web berikut:

• Kerajaan dan swasta
http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_hospitals_in_Malaysia
• Klinik dan hospital http://www.moh.gov.my

Utamakan Keselesaan & Keselamatan

Apabila hamil, anda perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara
yang dulunya dianggap remeh. Kini, anda perlu lebih berhati-hati.

- Oleh Prof Madya Tan Ay Eeng, Pakar Obstetrik dan Ginekologi


Apabila anda hamil, ini tidak bermakna hidup anda telah terhenti. Anda masih mempunyai kerja yang perlu dilakukan di rumah dan bagi kebanyakan wanita, mereka masih perlu pergi bekerja. Ini merupakan satu cabaran untuk membahagikan masa antara waktu bekerja, urusan rumah tangga dan bayi yang sedang membesar di dalam rahim anda di samping memastikan anda sentiasa selamat dan selesa. Baca artikel ini dan kongsi bersama suami anda. Ini dapat memastikan orang yang tersayang turut membantu menjaga anda.

 

Tangguhkan mengecat
Elakkan daripada terdedah kepada cat yang berasaskan minyak, plumbum, raksa atau bahan-bahan lain yang mengandungi pelarut. Ini bermakna hentikan aktiviti melukis, menampal kertas dinding atau kemasan perabot. Bagaimanapun, jika anda perlu melakukan perkara ini, ambillah langkah berjaga-jaga: bekerja di kawasan yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik, pakai pakaian pelindungan dan sarung tangan serta elakkan minum atau makan di kawasan kerja.

Berhati-hati semasa membersihkan rumah
Walaupun tiada kajian yang dijalankan mengenai kesan sampingan bahan kimia dari produk pencuci ke atas wanita hamil, namun langkah berhatihati adalah amalan yang baik. Apabila menggunakan produk yang mungkin mengandungi bahan-bahan toksik, pastikan anda memakai sarung tangan apabila menggunakan agen pembersih kimia dan jangan sesekali menghidu bau yang kuat atau kaustik. Kebanyakan produk pencuci selamat untuk digunakan tetapi elakkan campuran ammonia bersama produk yang mengandungi klorin kerana ia akan menjadi toksik!

Bahaya kotak kumbahan
Minta pertolongan orang lain untuk membersihkan kotak kumbahan binatang peliharaan anda. Najis kucing mengandungi parasit yang berbahaya dan boleh menyebabkan toksoplasmosis (jangkitan darah yang serius dan boleh menyebabkan bayi dilahirkan cacat). Jika anda perlu membersihkan kotak kumbahan itu, pastikan anda memakai sarung tangan dan mengguna topeng mulut dan hidung.

Memakai tali pinggang keledar
Pakailah tali pinggang keledar jika anda menaiki kereta, walaupun untuk perjalanan yang dekat. Kedudukan tali pinggang adalah di antara payudara dan jauh dari leher, serta letakkan tali pinggang di bawah perut dan di atas paha.

Jauhi asap rokok
Asap rokok dapat membahayakan bayi di dalam kandungan anda, jadi, elakkan diri anda daripada kawasan yang tercemar dengan asap rokok. Jika anda mempunyai suami, kawan-kawan atau rakan sekerja yang merokok, beritahu mereka supaya tidak merokok jika mereka bersama anda.

 
DI TEMPAT KERJA

Kerja di pejabat bermakna anda perlu duduk berjam-jam di satu tempat. Oleh itu, anda memerlukan sebuah kerusi yang selesa – yang mempunyai tempat duduk yang kukuh, tempat letak tangan boleh laras dan kusyen belakang yang dapat menyokong belakang anda. Jangan duduk bersilang kaki. Sebaliknya, gunakan tempat letak kaki untuk menampung kaki anda. Ini dapat mengurangkan ketegangan belakang anda dan kemungkinan untuk mendapat vena varikos.

Adakah pekerjaan anda memerlukan anda berdiri untuk tempoh masa yang lama, mengangkat benda-benda berat atau bekerja mengikut shif? Jika benar, anda mungkin perlu membincangkan perkara ini dengan majikan anda. Anda mungkin perlu bercuti lebih awal atau menyesuaikan sesetengah tugas-tugas anda sepanjang tempoh kehamilan anda.

 

Hamil dan … Cemas?

Kami menemubual Prof Madya Dr Tan Ay Eeng mengenai kebimbangan-kebimbangan
yang dialami oleh wanita yang hamil untuk kali pertama.

Kehamilan membawa perasaan yang bercampur baur: anda akan rasa teruja tetapi bimbang, gembira tetapi takut. Ditambah pula dengan nasihat daripada keluarga serta rakan-rakan, menjadi cemas malah keliru adalah sesuatu yang kerap berlaku.

Untuk memperjelaskan hal ini, kami telah menemubual Prof Madya Dr Tan Ay Eeng, pakar Obstetrik & Ginekologi dan ahli panel ‘Positive Parenting’, untuk menjawab beberapa kebimbangan yang mungkin anda alami:

Soalan utama bagi wanita hamil ialah sama ada bayi berada dalam keadaan yang normal dan sihat. Adakah mereka perlu bimbang?
Doktor anda akan meniliti sejarah perubatan anda dan memeriksa anda sebelum menjawab soalan ini. Bagaimanapun, kebarangkalian bayi menjadi cacat adalah sangat rendah. Kebanyakan kecacatan akan berakhir dengan keguguran ketika awal kehamilan. Pemeriksaan kesihatan sebelum hamil dan perundingan perubatan dapat membantu untuk mengenal pasti faktor-faktor risiko untuk mungkin menatijahkan janin. Pemeriksaan antenatal yang sempurna dan rapi dapat mengenal pasti kehamilan yang berisiko tinggi dan rawatan yang sewajarnya. Kurangkan risiko ini dengan menjaga diri anda dengan baik ketika hamil.
 

Mereka juga bimbang adakah bayi mereka sihat ketika dilahirkan. Adakah kebimbangan mereka wajar?
Sesetengah ibu bapa bimbang tali pusat akan membelit leher bayi sewaktu dilahirkan dan menyebabkan asfiksia (kekurangan oxsigen). Walaupun kes-kes telah dilaporkan di media, usah terlalu bimbang memandangkan keadaan ini amat jarang berlaku. Sewaktu kelahiran, denyutan jantung bayi anda dan warna air ketuban akan diperhatikan dengan kerap bagi mengetahui tanda awal bayi lemas. Jika perlu, anda mungkin menjalani pembedahan kecemasan Caesarean untuk mempercepatkan kelahiran sebelum keadaan bayi menjadi lebih tenat.


Bagaimana pula tentang pengambilan suplemen dan herba tradisional? Bolehkah mereka meneruskan pengambilan ubat-ubatan ini?

Wanita hamil disarankan supaya mengambil asid folik dan zat besi. Bagaimanapun, hanya ambil ubatubatan yang telah dinasihatkan oleh doktor anda. Bagi herba tradisional yang tidak berasaskan penyelidikan perubatan yang menyakinkan, anda dinasihati supaya tidak mengambilnya. Terutamanya pada tiga bulan pertama kehamilan kerana pada ketika ini, kebanyakan organ-organ penting bayi anda mula membentuk.

Sesetengah herba mungkin akan melambatkan pembekuan darah dan perlu dielakkan ketika bulan terakhir kehamilan. Ia dikhuatiri akan menyebabkan pendarahan yang teruk ketika kelahiran atau ketika menjalani pembedahan Caesarean.

Sesetengah wanita diberitahu bahawa perut mereka kelihatan pelik! Adakah mereka
perlu berasa bimbang?

Jangan bimbang tentang bentuk atau rupa perut anda kerana ia tidak menunjukkan berat atau keadaan bayi anda. Ini hanya boleh dipastikan setelah doktor anda menjalankan pemeriksaan keatas anda. Imbasan ultrabunyi boleh memberikan maklumat tambahan tentang bayi anda.
 
BAGAIMANA PULA DENGAN BAYARAN HOSPITAL?
Jangan mengelak daripada membincangkan bayaran perubatan dengan doktor anda. Lakukan sedikit kajian dan bandingkan pakej-pakej kelahiran di hospital yang berlainan. Cuba fahami mengapa terdapat perbezaan harga: adakah disebabkan oleh kemudahan, kepakaran atau perkhidmatan tambahan yang ditawarkan? Ambillah sikap yang lebih terbuka dengan doktor anda dan mereka dengan gembira akan menjawab soalan anda.

Menikmati Tempoh Hamil Dengan
Sihat Dan Gembira

By Professor Dr M.A. Jamil, Obstetrician & Gynaecologist

 

Tahniah! Anda bakal menimang cahayamata. Walaupun anda sibuk menghias bilik bayi dan membelibelah pakaian, peralatan mandi dan barang-barang permainan untuk si manja, jangan lupa tentang diri sendiri. Penjagaan kesihatan dan kesejahteraan anda dan bayi anda mesti menjadi keutamaan sepanjang tempoh hamil.

Di sini terdapat beberapa panduan gaya hidup yang mudah untuk diikuti bagi membantu anda menikmati tempoh hamil dengan sihat dan gembira.

   

Merokok

  • Jangan merokok. Merokok menyebabkan persekitaran yang tidak sihat kepada bayi walaupun dia belum dilahirkan. Antara kesankesan buruk merokok ialah pengecutan saluran darah yang seterusnya mengurangkan bekalan darah dan oksigen kepada bayi di dalam rahim. Ini meningkatkan risiko keguguran, mati ketika lahir, kelahiran pra matang, berat semasa lahir yang rendah dan palsi serebral.

  • Perokok pasif. Adalah sangat penting bagi wanita yang hamil menjauhkan diri dari asap rokok daripada orang lain. Merokok secara pasif boleh menjadi lebih merbahaya kepada bayi berbanding merokok secara aktif. Bahan kimia dari asap rokok boleh menyerap masuk ke dalam saluran darah si ibu dan disalurkan secara terus kepada bayi. Anda dinasihatkan menjauhi diri dari persekitaran yang berasap rokok.
 

Alkohol dan Penyalahgunaan Dadah

  • Jangan minum alkohol. Anda perlu memahami bahawa pengambilan alkohol itu sendiri (dan bukan kuantitinya) adalah merbahaya. Alkohol yang diambil semasa hamil boleh menyebabkan kecacatan mental pada bayi. Jadi, jika anda merancang untuk hamil, ini adalah masanya untuk anda berhenti mengambil alkohol.

  • Bebas dari dadah. Secara ringkas, penyalahgunaan dadah semasa hamil boleh menyebabkan keguguran, kerosakan uri, dan kelahiran pramatang. Dadah juga boleh menyebabkan kerencatan pertumbuhan dan kecacatan pada bayi yang bakal dilahirkan.

Ubat-Ubatan

  • Untuk sakit kepala dan lain-lain jenis kesakitan. Sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan, jangan lupa meneliti label untuk mengetahui sebarang kontra-indikasi bagi mereka yang hamil.

    Acetaminophen ialah pengganti bukan aspirin yang selamat digunakan semasa hamil kerana ia tidak menyebabkan apa-apa kecatatan kelahiran. Pengambilan paracetamol dalam dos yang disyorkan juga selamat ketika anda hamil.

    Elakkan dari mengambil Ibuprofen dan NSAIDS.

  • Untuk penyakit yang sedia ada. Jika anda sedang mengambil ubat-ubatan disebabkan kewujudan masalah kesihatan yang sedia, dapatkan nasihat doktor sama ada anda patut meneruskan, berhenti atau bertukar kepada ubat-ubatan lain. Misalnya, penghidap diabetes yang mengambil ubat hipoglisemik untuk mengawal tahap glukosa darah mungkin perlu bertukar kepada suntikan insulin.

  • Untuk batuk & selsema. Selsema tidak membahayakan kesihatan anda atau bayi di dalam kandungan. Dapatkan rehat dengan secukupnya dan minum air dengan banyak. Jika selsema berpanjangan, jumpa doktor anda. Elakkan mengambil ubat-ubatan selsema dan antibiotik tanpa preskripsi. Pastikan anda menghabiskan semua antibiotik tersebut.

  • Untuk mengurangkan berat badan. Jika berat anda berlebihan dan memberi risiko kepada diri dan bayi anda, doktor akan menasihatkan anda tentang tindakan yang perlu diambil. Jangan mengambil apa-apa ubatubatan mengurangkan berat badan semasa hamil. Ini juga bukan masanya untuk menghadkan pengambilan makanan dengan sewenangwenangnya. Anda memerlukan diet
    yang seimbang untuk membekalkan kandungan nutrien-nutrien yang betul.
 

Senaman

Senaman aerobik yang sederhana adalah baik sekiranya anda tidak mempunyai sebarang komplikasi kesihatan.

  • Langkah permulaan. Jika anda tidak kerap bersenam, mulakan dengan perlahan dan, secara beransur-ansur, tingkatkan kekerapan dan tempoh bersenam pada setiap sesi. Matlamat anda adalah untuk bersenam 3 kali seminggu selama 20 minit setiap sesi. Jangan lupa untuk minum air sebelum, semasa dan selepas bersenam.

    Cara terbaik untuk bersenam bagi mereka yang baru bermula ialah dengan berjalan di permukaan yang rata. Berjalan adalah murah, mudah dan senang. Anda hanya perlu sepasang kasut sukan yang baik. (Lihatlah isu Asuhan Positif yang akan datang untuk panduan bersenam semasa mengandung – Pengarang).

  • Sukan yang perlu dielakkan. Elakkan sukan yang melibatkan risiko anda berlanggar dengan peserta lain atau terjatuh.
   

Mengembara

  • Dengan kereta. Ramai ibu yang mengandung tidak mahu menggunakan tali pinggang keledar kerana mereka risau tentang risiko kepada bayi yang bakal dilahirkan. Tambahan lagi, tali pinggang keledar boleh menyebabkan sedikit ketidakselesaan.

    Pada hakikatnya, anda harus memakai tali pinggan keledar apabila mengembara di dalam kereta, semasa duduk di depan ataupun di belakang. Pasangkan tali penahan punggung di bawah abdomen dan bersilang dengan peha anda. Ia tidak sepatutnya merentas abdomen anda. Pastikan tali penahan bahu merentas dada, di antara payudara anda.

    Jika anda adalah penumpang, anda dinasihatkan duduk di tempat duduk belakang untuk merendahkan risiko tercedera akibat pelanggaran dari depan dan juga pembukaan beg udara
    keselamatan di dalam situasi-situasi sebegini.
 
  • Dengan motosikal. Jika boleh jangan mengembara dengan motosikal semasa mengandung. Selain tidak selesa terutama ketika sarat mengandung, motosikal tidak mempunyai tali pinggang keledar atau penahan keselamatan yang lain. Anda juga lebih cenderung untuk mengalami kecederaan kepada diri dan bayi kandungan anda sekiranya terjatuh atau terlanggar.
 

Keselamatan Sekeliling Rumah

  • Pendedahan kepada bahan toksik. Apabila mengemas rumah, guna sarung tangan dan cuba elakkan dari menyedut bau kimia yang kuat (contoh dari cat rumah dan cecair pelarut). Tiada bukti yang menunjukkan penggunaan alat pencuci rumah secara normal akan menyebabkan kecatatan kelahiran. Walau bagaimanapun, jangan campurkan ammonia dengan produk berasaskan klorin. Kombinasi ini menghasilkan gas yang toksik. Pastikan rumah anda mempunyai peredaran udara yang baik.

  • Membersihkan najis binatang kesayangan. Cuba jangan bersihkan bekas simpanan najis haiwan peliharaan kerana anda terdedah kepada risiko infeksi mikro organisma yang terdapat dalam najis haiwan peliharaan. Najis kucing, misalnya, mengandungi parasit yang boleh menyebabkan toksoplasmosis, sejenis infeksi darah yang jarang berlaku tetapi amat serius dan boleh menyebabkan kecacatan kelahiran seperti buta, pekak dan kerencatan mental. Jika anda tidak boleh menyerahkan tugas ini kepada orang lain, amalkan langkah berjaga-jaga dengan memakai sarung tangan getah. Jangan lakukan aktiviti berkebun dalam kawasan yang telah dicemar oleh haiwan peliharaan.
 

Hubungan Kelamin

  • Teruskannya. Kebanyakan keguguran semasa trimester pertama biasanya berpunca daripada kecacatan genetik dan bukannya hubungan kelamin. Jika kehamilan anda normal dan anda tidak mempunyai apa-apa risiko kepada kelahiran pra matang, hubungan kelamin boleh diteruskan sehingga trimester ketiga kehamilan anda.

  • Berhenti. Pada minggu-minggu terakhir kehamilan anda, hubungan kelamin patut dielakkan kerana risiko infeksi intrauterin dan sekiranya anda mengandung anak kembar. Doktor juga tidak akan membenarkan hubungan kelamin jika anda mengalami pendarahan faraj.
 
Bergembira Dengan Kehamilan
Panduan-panduan di atas memastikan anda melakukan apa yang boleh untuk mencipta keadaan yang selamat bagi bayi yang bakal dilahirkan. Di samping itu, kekalkan sikap positif dan ceria semasa hamil, kerana bayi boleh merasai emosi anda. Kehamilan adalah sangat unik dan merupakan masa yang istimewa dalam kehidupan wanita, jadi cubalah menikmatinya dengan gembira.

Hamil? Kekalkan Kecergasan!

Bersenamlah bagi mengekalkan kesihatan
sepanjang kehamilan

Oleh Cik Katijjahbe Mohd Ali, Pakar Fisioterapi

Daripada mula anda melihat tanda postif pada tingkap alat ujian kehamilan, anda akan sentiasa memastikan pemakanan yang baik, mengelakkan persekitaran yang berasap, jauhkan diri daripada rokok dan alkohol. Ini bermakna anda sedaya upaya memberi bayi anda permulaan kehidupan yang baik dan sihat.

Seperkara lagi yang anda boleh lakukan untuk mempertingkatkan kesihatan anda dan bayi anda sementara menunggu hari yang dinanti-nantikan adalah dengan melakukan senaman. Senaman yang kerap boleh meningkatkan kesihatan kardiovaskular, mengurangkan kekenduran kulit dan meningkatkan kekuatan otot, memberi ketenangan, meningkatkan peredaran darah; dan membawa keluarga anda satu langkah kearah sihat sepanjang hayat.

 
Senaman yang dicadangkan
 

Terdapat beberapa senaman yang anda boleh lakukan semasa hamil. Sentiasa berbincang dengan doktor atau pakar fisioterapi sebelum memulakan program senaman.

  • Berjalan kaki/joging mengikut kelajuan yang selesa bagi anda. Jangan buat senaman pada kelajuan yang menyukarkan anda bernafas dan bercakap.

  • Berenang sebaik-baiknya dalam kolam renang yang bersih. Elakkan berenang dalam sungai, kolam, takungan air dan laut yang terdapat bakteria yang mungkin boleh membawa jangkitan.

  • Jika anda masih teringin hendak pergi ke laut, elakkan melakukan aktiviti selaman skuba sepanjang tempoh mengandung. Aktiviti “snorkelling” adalah lebih selamat.

  • Senaman angkat berat tidak berlebihan (genggam besi dengan kuat dan jangan angkat besi ke atas melebihi kepala).

  • Senaman otot lantai pelvis adalah penting dilakukan sekarang dan selepas bersalin. Otot lantai pelvis menyokong usus, pundi kencing dan rahim semasa hamil dan otot ini akan mengembang dan lemah mengikut berat bayi yang semakin membesar. Senaman boleh membantu otot-otot ini menjadi lebih kuat dan dapat mengelakkan perkara yang memalukan seperti terkencing ketika batuk, bersin atau ketawa.
 

Senaman berikut boleh membantu anda menguatkan otot yang diperlukan semasa tempoh kehamilan dan semasa saat hendak bersalin.

“Pelvic tilt”

  • Senaman ini menguatkan otot perut dan meregangkan kelenturan tulang belakang dan pelvis anda. Ia membantu melegakan sakit belakang, dan apabila anda telah belajar melakukannya mengikut kedudukan ini, anda juga boleh melakukannya semasa berdiri, duduk, atau berbaring.

  • Berlutut di lantai dan letakkan tangan di lantai selari dengan bahu. Pastikan belakang anda selari dengan lantai.

  • Ketatkan otot perut dan punggung dan condongkan pelvis anda ke depan. Perlahan-lahan lepaskan nafas. Ini akan membuat belakang anda melengkung ke atas sedikit. Kekalkan posisi ini, kemudian tarik nafas dan kembali ke posisi asal. Ulang beberapa kali.

 

“Tailor sitting”

Ini merupakan senaman postur yang akan menguatkan belakang dan meregangkan otot paha dan pelvis menjadikannya lebih fleksibel. Ia juga meningkatkan peredaran darah di bahagian bawah tubuh.

  • Duduk dengan menegakkan belakang, bengkokkan lutut dan rapatkan tapak kaki. Tarik tumit anda dan rapatkan ke badan.

  • Pegang kedua-dua pergelangan kaki dan guna siku anda untuk menekan paha ke bawah (mengikut kebolehan, jangan dipaksa). Pegang selama 20 saat, kemudian releks. Ulang beberapa kali.

  • Jika anda rasa posisi ini sukar, amalkan duduk tegak dengan merapatkan belakang ke dinding tetapi jangan bersandar.

Mencangkung

Walaupun senaman ini adalah untuk menguatkan otot dan meningkatkan regangan, anda juga seharusnya menggunakan posisi ini apabila mengangkat sesuatu objek daripada lantai.

  • Jarakkan kaki mengikut jarak bahu, pusing kaki ke arah luar pada sudut yang selesa.

  • Bengkokkan lutut, pastikan belakang anda tegak. Tumit anda hendaklah sentiasa berada di lantai. Regangkan bahagian dalam paha anda dengan menekannya ke arah luar menggunakan siku. Ia lebih mudah dilakukan jika anda merapatkan kedua-dua tangan anda. Kekalkan dalam posisi ini selama yang mampu tanpa terhuyung-hayang dan kaki dan betis tidak menjadi kebas.
 
Amaran Semasa Bersenam

Jangan lakukan sebarang aktiviti yang melibatkan altitud tinggi (cth mendaki gunung), dan yang berkemungkinan boleh menyebabkan jatuh dan kecederaan serius, cth menunggang kuda. Jangan bersenam sampai terlalu penat; sekiranya anda tidak dapat bernafas secara selesa ataupun bercakap dengan biasa semasa bersenam, perlahankan senaman anda atau lakukan senaman yang tidak begitu meletihkan diri.

Pada penghujung trimester kedua anda, berhenti melakukan sebarang senaman yang memerlukan anda berbaring lebih daripada beberapa minit.


Jagalah Tulang Belakang Anda

Sakit belakang semasa hamil adalah fenomena biasa, tapi anda boleh mencegahnya.

Oleh Prof Madya Dr Tan Ay Eeng, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi

Badan anda mengalami banyak perubahan semasa hamil. Antaranya, ramai wanita yang mengadu sakit belakang atau pinggang, tetapi anda tidak perlu mengalaminya.

Mengapa anda mungkin sakit belakang/pinggang semasa hamil

  • Perubahan postur badan
  • Perubahan pada taburan berat badan
  • Perubahan hormon yang menyebabkan tisu penyambung meregang
  • Keletihan otot-otot.

Senaman membantu!

  • Bersenamlah selama sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari dan badan anda akan sihat serta bertenaga. Dapatkan nasihat doktor sebelum bermula.

  • Berenang pada kelajuan yang sesuai dengan anda, di kolam renang yang bersih dan berklorin.

  • Berjalan atau berbasikal pada kelajuan yang sesuai dengan keselesaan anda iaitu pastikan anda dapat bernafas dan bercakap dengan selesa.

  • Lakukanlah senaman ringan seperti senaman regangan otot untuk membina keanjalan otot.

  • Lakukan senaman angkat berat dan menolak rintangan/beban untuk membina kekuatan dan tona otot.

Menambah Berat Badan Secara Sihat

Kekalkan kesihatan yang terbaik ketika hamil dengan mengikuti garis-garis panduan berikut

Oleh Prof Madya Dr Tan Ay Eeng, Pakar Obstetrik & Ginekologi,
& Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Jika anda telah mengikuti rencana-rencana tentang diet dan pemakanan yang berkhasiat dalam Positive Parenting Magazine, anda tentu sudah tahu bahawa kepercayaan tentang ‘memakan untuk dua orang’ (eat for two) ketika hamil adalah tidak benar langsung. Secara teknikal, anda sememangnya sedang makan untuk dua orang — tetapi jangan lupa bahawa ‘orang kedua’ ini adalah jauh lebih kecil daripada anda!

Berapakah pertambahan berat badan yang sesuai untuk saya?

Secara purata, wanita yang berada dalam lingkungan berat badan yang sihat untuk ketinggian mereka harus menambah kira-kira 12.5 kg pada keselurahan masa kehamilani.

 
Pada keseluruhannya, anda harus menambah 0.5 kg setiap bulan bagi lima bulan yang pertama dan 0.5 kg setiap minggu seterusnyaii. Jumpalah pakar obstetrik anda atau pakar diet untuk nasihat tentang apa dan berapakah jumlah makanan yang hendak dimakan bagi mencapai kadar tambahan berat badan ini.
 
Berat badan yang berlebihan pada ibu mengandung adalah berkaitan dengan kecacatan pada bayi terutama sekali kecacatan tiub saraf; komplikasi ketika bersalin dan melahirkan anak; kematian janin dan neonatal; tekanan darah tinggi pada ibu; diabetes dan kelahiran bayi yang bersaiz terlalu besar berbanding usia kehamilan. Manakala penambahan berat terlalu kurang mungkin mendedahkan bayi kepada risiko kelahiran pramatang dan berat lahir berkurangan.
 

Menambah berat badan dengan cara yang sihat

Kini anda tahu bahawa anda tidak sepatutnya memakan dua kali ganda kerana hamil, pertimbangkan petua-petua berikut untuk menambah berat badan secara sihat ketika hamil:

  • Jika anda berada di luar lingkungan berat badan yang sihat sebelum hamil, sama ada terlebih berat atau kurang berat, anda harus beringat bahawa pertambahan berat badan anda perlu kurang atau lebih daripada jumlah yang disyorkan di atas. Pakar diet boleh membantu anda merumus suatu rancangan diet yang akan memastikan anda menambah berat badan dengan betul.

  • Makan makanan seimbang dengan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran segar, bersama sekurang-kurangnya 2 cawan susu rendah lemak setiap hari (atau produk tenusu seperti keju dan yogurt).

  • Anda boleh mengelakkan pedih hulu hati dan serangan gastrik dengan memakan makanan ringan yang sihat di antara waktu-waktu makan, atau makan dengan sedikit tetapi kerap.

  • Jika anda sering rasa mual dan kerap muntah, gantikan cecair yang hilang dengan meminum air, jus buah-buahan perahan segar yang tidak bergula atau susu.

  • Awasi pertambahan berat badan anda di rumah dengan menimbang diri sendiri sekali atau dua kali seminggu pada waktu yang sama setiap hari, iaitu sebelum sarapan atau sebelum tidur. Pakailah pakaian jenis ringan dan gunakan penimbang yang sama setiap kali menimbang berat badan anda.

Penting: Jika secara tiba-tiba pertambahan berat anda lebih daripada biasa dan terasa kembung yang tidak normal, hubungilah doktor anda dengan segera. Penahanan air dalam badan adalah sesuatu yang biasa dalam kehamilan, tetapi ia juga menandakan pra-eklampsia, suatu keadaan tekanan darah tinggi ketika hamil yang memerlukan perhatian perubatan.

 

Kemanakah perginya berat badan yang berlebihan

Anda mungkin tertanya-tanya mengapa berat badan perlu bertambah dengan banyak jika akhirnya berat badan bayi hanya lebih kurang 3 kg sahaja. Pertambahan berat badan yang selebihnya akan ke bahagian-bahagian berikut:

  • Uri, satu organ unik yang terdapat di rahim yang menghubungkan bayi dengan anda serta membolehkan anda membekalkan bayi anda dengan segala yang diperlukannya untuk membesar. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, uri yang tidak digunakan lagi akan terkeluar dari badan anda.

  • Bendalir amnion, sejenis bendalir jernih di dalam mana bayi bergantungan ketika hamil. Ia membantu untuk menyokong tubuh bayi dan melindunginya dari sebarang kecederaan ketika anda bergerak atau tersentak secara tiba-tiba.

  • Tisu payudara (buah dada), yang akan membesar sebagai persediaan untuk penyusuan.

  • Bekalan darah, yang akan bertambah untuk memenuhi keperluan anda dan bayi. Tatkala badan anda membesar, anda memerlukan lebih banyak darah untuk beredaran dalam badan. Dan ketika bayi membesar serta berkembang, dia memerlukan darah yang lebih banyak juga.

  • Penyimpanan lemak — ini merupakan sumber tenaga yang terbaik untuk badan, dan banyak diperlukan apabila tiba masanya untuk bersalin. Susu badan juga mengandungi banyak lemak yang diambil dari ‘stok’ simpanan badan.

  • Pengembangan rahim, sesuatu yang diperlukan dalam kehamilan. Semakin bayi membesar, rahim juga turut ‘membesar’ untuk menampung saiz bayi. Ini menyebabkan pertambahan berat badan.

Kesemua ini merupakan sebab-sebab mengapa anda tidak harus menghalang pertambahan berat badan semasa hamil. Jika anda menghadkan pengambilan sesetengah makanan, anda mungkin akan menjejaskan perkembangan bayi atau sebaliknya badan anda mungkin akan menggunakan simpanannya untuk diberikan kepada bayi.

Menjaga Diri Dan Kandungan Anda

Ahli Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia,
Profesor Madya Dr Zaleha Abdullah Mahdy,
menerangkan ujian-ujian perubatan yang mungkin
perlu diambil semasa mengandung.


Ketika mengandung, anda dan bayi berhubung rapat dan kesihatan serta kesejahteraan anda berdua turut berkait. Atas sebab inilah, anda perlu menghadiri pelbagai pemeriksaan antenatal bermula dengan trimester pertama, sebelum minggu ke 12, bagi membantu doktor anda memantau keadaan anda dan perkembangan bayi.

Seperti kebanyakan ibu, anda mungkin keliru dengan ujian-ujian yang perlu diambil.

 

Anda mungkin berasa risau terutama jika doktor mengarahkan supaya anda mengambil ujian khas bukan rutin. Berikut adalah penerangan tentang pemeriksaan antenatal dan ujianujian yang dilakukan supaya anda faham kepentingannya.

Pemeriksaan Ibu

Pemeriksaan antenatal yang pertama.
Doktor anda akan meneliti sejarah perubatan, dengan penekanan kepada tahap kesihatan dan gaya hidup anda sekarang. Anda juga akan menjalani pemeriksaan kesihatan fizikal yang merangkumi ujian tekanan darah, jantung, paru-paru, tiroid, payudara dan gigi. Ujian darah turut dilakukan bagi mengesan kemungkinan anemia dan status anda berkenaan jangkitan sesetengah penyakit (seperti status imunisasi rubella, Hepatitis B dan status pembawa HIV).

Pemeriksaan rutin selanjutnya.
Kecuali anda mempunyai sebarang masalah kesihatan (yang mungkin menyebabkan anda perlu membuat pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap), anda akan berjumpa doktor sekali sebulan sehingga minggu ke 28, setiap dua minggu selepas minggu ke 28 hingga minggu ke 36, dan setiap minggu selepas minggu ke 36 sehingga bayi dilahirkan.

Setiap kali, doktor anda akan menimbang berat badan, mengambil tekanan darah dan menganalisa air kencing. Prosedur ini membantu beliau mengenalpasti sebarang tanda amaran pra-eklamsia – sejenis kombinasi tekanan darah tinggi, simpanan cecair berlebihan dan protein di dalam air kencing. Turut dikenali dengan nama pre-eclamptic toxaemia, kejadian ini berlaku kepada 1 atau 2 daripada setiap 20 orang ibu, terutama di trimester kedua kandungan mereka. Pra-eklamsia yang tidak teruk boleh dirawat, tetapi jika tidak dikawal ia boleh mengakibatkan eklamsia dan sawan serta koma.

Sampel air kencing anda juga akan diuji untuk mengesan sebarang jangkitan dan gejala diabetes kehamilan. Diabetes jenis ini disebabkan oleh kandungan dan perlu disahkan dengan ujian lanjut. Ubatan-ubatan dan perubahan diet seharian yang diselia oleh doktor mungkin diperlukan bagi mengawal kandungan gula di dalam darah.

Anda juga mungkin diberi suntikan vaksin tetanus, biasanya selepas minggu ke 22, bertujuan untuk melindungi bayi anda daripada jangkitan kancing gigi selepas lahir. Jika anda mengandung anak sulung, suntikan ini diulang sebulan kemudian.

Pemeriksaan Bayi

Dengan sentuhan.
Dengan tekanan jari yang lembut ke atas abdomen anda, doktor akan mengesan kedudukan bahagian atas rahim bagi menilai tumbesaran janin. Bermula dari minggu 34 atau 36, doktor mungkin meminta anda memantau pergerakan bayi. Jika bayi mendapat bekalan oksigen yang secukupnya, dia patut bergerak sekurang-kurangnya 10 kali di dalam tempoh 12 jam. Walau bagaimanapun, bayi mungkin kurang bergerak jika dia mempunyai kembar atau jika ibu merokok, menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi.

Dengan mendengar.
Masuk minggu ke 14, doktor anda akan mendengar degupan jantung bayi dengan menggunakan sonicaid elektronik atau menggunakan stetoskop janin berbentuk trumpet selepas minggu ke 22. Di tempoh 2 bulan terakhir kandungan, dan jika perlu, doktor mungkin menjalankan ujian kardiotokografi yang mengukur degupan jantung bayi dengan monitor elektronik. Bunyi, rentak degupan dan kadar degupan yang ganjil bermaksud bayi mungkin tidak sihat.

Dengan imbasan.
Imbasan ultrabunyi (ultrasound) akan dilakukan seawal mula hamil. Imej janin di skrin boleh menenangkan anda dan mengesan tahap tumbesaran janin. Imbasan mungkin dilakukan dengan lebih kerap jika anda pernah mengalami keguguran atau mengalami pendarahan atau kesakitan. Begitu juga jika doktor mengesyaki janin tidak membesar seperti sepatutnya.

Ujian-ujian khas untuk mengesan keganjilan kromosom.
Jika anda berusia 35 tahun ke atas, atau terdapat risiko penyakit keturunan atau bayi terdahulu dilahirkan tidak normal, doktor mungkin menasihatkan anda untuk menjalani ujian-ujian khas seperti berikut.

  • Ujian Darah. Ujian Triple di minggu 14-16 mengukur tiga jenis komponen kimia darah (AFP, estriol dan hormon kehamilan yang dinamakan hCG) untuk mengesan kemungkinan kecacatan tiub neural (seperti spina bifida) dan sindrom (seperti Down).

  • Imbasan. Imbasan Nuchal Translucency mengukur pengumpulan cecair di belakang leher bayi. Ia dijalankan di minggu 10-12 bagi mengesan pelbagai gejala seperti sindrom Down (sejenis keganjilan kromosom yang membantutkan perkembangan) dan Turner (keganjilan kromosom yang membantutkan tumbesaran dan perkembangan kelamin bagi bayi perempuan).

  • Ujian Invasif. Amniosentesis, yang boleh dilakukan bila-bila masa selepas minggu ke 13, ialah sejenis ujian di mana jarum dicucuk ke dalam abdomen untuk mengambil sampel cecair di dalam rahim. Cecair ini digunakan untuk mengesan sindrom Down dan keganjilan kromosom yang lain. Sejenis lagi ujian invasif ialah Persampelan Vilus Korion (Chorionic Villus Sampling) yang boleh dilakukan di hujung trimester pertama atau lebih lewat dari itu. Jarum digunakan bagi mengambil sedikit sampel tisu dari uri (plasenta) bagi mengesan sindrom Down dan penyakit darah seperti talasemia. Ujian-ujian invasif ini sangat penting terutama jika bayi disyaki mempunyai masalah kromosom atau keturunan.

Semua ibu berdoa untuk mendapat bayi yang normal dan sihat. Oleh itu anda perlu bekerjasama dan bersedia untuk menjalani pemeriksaan antenatal dan ujian-ujian lain yang mungkin anda perlukan. Tidak ada ujian yang sempurna dan kadangkala keputusan yang diperolehi kurang tepat. Walau bagaimanapun, adalah penting bagi anda mengetahui status dan perkembangan diri anda serta bayi. Maklumat ini membantu anda menyiapkan diri bagi memelihara kedua-dua ibu dan bayi, dan membolehkan anda mengambil langkah awal jika salah seorang berada di dalam keadaan yang membimbangkan.

Pemeriksaan dan Ujian-ujian Antenatal

Oleh Prof Madya Dr Tan Ay Eeng, Pakar Obstetrik dan Ginekologi

Amalan perubatan moden menggalakkan pemeriksaan antenatal secara berkala (lebih kurang setiap 4 minggu) mulai sekitar minggu ke-11. Semasa pemeriksaan yang pertama doktor akan merekod sejarah perubatan anda dan pasangan anda, serta keluarga kedua-duanya. Pemeriksaan fizikal seperti berat badan, tinggi, kadar jantung dan ukuran tekanan darah akan diambil dan direkodkan. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan ke atas organ-organ lain termasuk paru-paru, jantung dan payu dara.


Melalui ujian darah, akan diketahui kumpulan darah anda, dan sama ada anda telah mempunyai imuniti kepada penyakit seperti Hepatitis B dan Rubella (German measles). Ujian air kencing dilakukan untuk mengesan kehadiran protein, gula atau tanda-tanda jangkitan.

Semasa pemeriksaan susulan, doktor anda mengukur berat badan dan tekanan darah sekali lagi. Perkara yang penting diketahui adalah sama ada anda dan bayi anda berada dalam keadaan sihat atau tidak. Apabila kehamilan semakin melangkah, doktor anda akan merekod pertumbuhan, saiz, kedudukan dan pergerakan bayi dalam rahim. Doktor akan memberitahu anda sama ada kelahiran anda memerlukan pembedahan Caesarean atau tidak, serta persediaan-persedian lain yang anda perlukan untuk menghadapi kelahiran.

 
Pengesan Ultrasonik
Sebelum tahun 1970an, para doktor tiada cara untuk meneliti perkembangan janin di dalam rahim. Dengan penciptaan pengesan ultrasonik, doktor dapat memantau pertumbuhan janin dan mengesan keabnormalan, dan dengan ini juga dapat membantu ibu bapa membuat keputusan tentang rawatan yang diingini berdasarkan maklumat yang ada. Pengesanan ultrasonik adalah selamat untuk ibu dan bayi. Sejenis alat yang dikenali sebagai transduser akan diletakkan pada abdomen ibu, dan gelombang ultrasonik yang memantul balik daripada rahim dapat dikesan. Hasilnya adalah imej hitam putih janin yang terpapar pada skrin.
 
Jadual di bawah menunjukkan bila biasanya pengesanan ultrasonik dilakukan dan sebab-sebabnya.

 

Usia kehamilan

Mengapa dilakukan
Apa yang dikesan
12 minggu ke bawah Untuk menenangkan hati ibu bapa
  • Kehadiran denyutan
    jantung janin
  • Jumlah janin
  • Usia janin
  • Di mana letaknya janin (sama ada kehamilan di dalam atau di luar rahim [kehamilan ektopik])
  Ibu berasa
sakit atau
berdarah
  • Kehamilan abnormal (cth kehamilan ektopik, di mana embrio terletak di luar rahim)
  • Keguguran
18-20 minggu Untuk memeriksa
bahawa janin
membesar dan
dalam keadaan
normal
  • Perkembangan organ, tangan dan kaki atau kecacatan

 

Bila Perlu Menimbulkan Kebimbangan

Selain daripada rasa loya pada sebelah pagi, sakit pada hulu hati dan sedikit perubahan fizikal, kehamilan tidak seharusnya membuat anda berasa tidak sihat atau menunjukkan gejala yang teruk. Jika anda mengalami sebarang daripada gejala-gejala berikut, jumpa doktor anda secepat mungkin.

  • Pendarahan daripada faraj atau keluar darah bercak-cak, yang berlaku lebih daripada sehari dan/atau disertai dengan demam, menggigil dan rasa sakit.

  • Pening yang berterusan disertai dengan rasa pitam atau pengsan.

  • Sakit pada bahagian pelvis.

  • Jika muntah-muntah melebihi dua atau tiga kali sehari, dan disertai oleh rasa sakit dan demam.

  • Demam.

  • Sakit semasa kencing.

  • Lelehan berair faraj yang berterusan atau banyak.

  • Bengkak pada pergelangan kaki, tangan dan muka yang terjadi dengan tiba-tiba.

  • “Gangguan Penglihatan” – tiba-tiba kelam, kabur dan buta buat sementara.

 

Apakah Tindakan Anda Terhadap Keputusan Yang Diterima?

Apakah yang anda harus lakukan sekiranya doktor memberitahu anda terdapatnya masalah dalam kehamilan? Bertenanglah, dan:

  • Tanya soalan. Minta doktor menerangkan tentang apakah masalah yang dihidapi janin anda ataupun risiko untuk keadaan itu, jangka hayat bayi dan apakah masalah yang mungkin dihadapi, dari segi fizikal dan mental.

  • Lakukan penyelidikan sendiri. Minta doktor anda mengesyorkan pakar untuk keadaan ini, baca buku dan artikel yang ditulis oleh pakar lain, dan cuba hubungi ibu bapa lain yang mempunyai anak yang mengalami masalah yang sama.

  • Harus bersyukur. Ini sememangnya sukar dilakukan, tetapi anda perlu ingat bahawa dengan saringan perubatan dan teknologi rawatan terkini, bayi anda mempunyai prognosis yang lebih baik berbanding dengan bayi yang dilahirkan dengan keadaan yang sama walaupun hanya 10 tahun lalu.

Sakit Dalam Kehamilan

Bukan semua sakit abdomen dalam kehamilan, merbahaya.

Oleh Prof Madya Dr Tan Ay Eng

Walaupun setiap kehamilan adalah berbeza, namun sakit abdomen adalah rungutan biasa ibu-ibu hamil. Mungkin ia adalah tanda kepada sesuatu yang serius, tetapi biasanya ia merupakan reaksi badan terhadap pelbagai perubahan yang dialami semasa kehamilan.

Punca sakit perut

  • Implantasi: Semasa implantasi janin pada dinding rahim, akan berlaku sakit kejang otot seperti semasa haid. (Nota: Ini berlaku pada peringkat awal kehamilan, sebelum kebanyakan wanita sedar mereka hamil).

  • Penegangan tisu-tisu sokongan: Selepas trimester kedua, otot-otot dan ligamen yang menyokong rahim menegang untuk memberi ruang bagi tumbesaran bayi.

  • Kontraksi palsu: Semasa trimester kedua dan ketiga, anda mungkin akan mengalami kontraksi palsu atau kontraksi Braxton Hicks, yang boleh menyebabkan anda rasa sakit atau tidak selesa.

  • Masalah penghadaman, angin, sembelit atau pedih ulu hati yang disebabkan perubahan hormon akan melambatkan kadar proses penghadaman anda.

 

Mencegah sakit perut

  • Elakkan pergerakan mengejut, seperti berpusing pada bahagian pinggang atau membongkok.

  • Jika anda perlu mengutip barang dari lantai, ambil dengan bercangkung disokong oleh perabot atau dinding.

  • Elakkan daripada duduk, berdiri atau berbaring tanpa bergerak lebih daripada 30 minit (kecuali anda tidur lena).

  • Elakkan sajian makanan berat, makanlah makanan sihat dalam jumlah kecil sepanjang hari.

  • Minumlah banyak cecair (susu, jus buah tanpa ditambah gula atau air kosong)

Melegakan sakit perut

  • Bongkok ke arah bahagian sakit sambil bernafas seperti biasa.

  • Duduk di kerusi yang selesa, angkat kaki, tarik dan lepas nafas sama rata.

  • Ubah posisi duduk atau bangun dan berjalan.

 

Miliki Kulit Sihat Sepanjang Kehamilan

Oleh Prof Madya Dr Tan Ay Eeng, Pakar Obstetrik & Ginekologi

 
Sepanjang tempoh kehamilan, sebahagian wanita kelihatan begitu berseri-seri manakala yang lainnya pula mengalami masalah kulit. Walaupun ia sukar diatasi, ia sebenarnya masalah yang biasa dan tidak membimbangkan.
 

Perubahan hormon yang berlaku semasa hamil akan menimbulkan masalah kepada kulit anda. Di sini kami senaraikan beberapa masalah kulit yang biasa dialami dan bagaimana anda boleh mengatasinya:

Tompok hitam di dahi, pipi dan leher
Juga dikenali sebagai Melasma atau Chloasma dan biasanya dialami oleh wanita yang berkulit gelap. Ianya akan bertambah teruk sekiranya anda lama berjemur dan terdedah pada cahaya matahari atau sinaran ultraungu (UV).

Penyelesaian: Elakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari. Pakai krim penghadang cahaya matahari dengan SPF 15 ke atas apabila berada di
luar rumah.


Bengkak di muka
Berlaku pada tempoh 3 bulan terakhir kehamilan, sesetengah wanita akan mengalami bengkak pada kelopak mata dan muka disebabkan penakungan cecair.

Penyelesaian: Bengkak pada muka akan hilang apabila tiba masanya. Namun, sekiranya ia disertai dengan penambahan berat badan yang mendadak, segera berjumpa dengan doktor. Ia mungkin kerana terdapatnya penakungan cecair berlebihan yang disebabkan oleh tekanan darah tinggi semasa hamil.

Sekelompok kecil kapilari pecah di muka dan dada
Sepanjang kehamilan, peredaran darah di seluruh tubuh meningkat dan ini memberikan tekanan kepada kapilari. Maka, wujudlah jaluran labah-labah saluran darah di sekitar kulit.

Penyelesaian: Elakkan muka dan dada anda daripada terdedah kepada kesejukan atau kepanasan melampau kerana ia boleh lebih memburukkan masalah anda.

Satu jalur hitam di bahagian tengah perut
Linea nigra selalunya timbul pada trimester kedua kehamilan dan ia disebabkan oleh pigmentasi di bahagian tengah abdomen. Ia terjadi apabila berlakunya peningkatan penghasilan hormon rangsangan melanosit.

Penyelesaian: Ia akan pudar beberapa minggu selepas bersalin.

Rasa gatal pada abdomen
Apabila perut anda semakin membesar, kulit anda akan meregang dan menjadi nipis. Kulit juga mudah kering. Kegatalan biasanya akan hilang selepas bersalin.

Penyelesaian: Guna krim pelembap untuk menghilangkan rasa ketidakselesaan. Juga elak daripada terdedah kepada panas keterlaluan kerana anda akan berasa lebih gatal apabila berada di tempat panas. Jika rasa gatal menjadi semakin teruk, doktor akan beri rawatan atau terapi sinaran ultraungu.

Ruam panas
Tindak balas hormon pada kelenjar peluh di seluruh badan menyebabkan wanita lebih banyak berpeluh semasa hamil. Justeru, ruam panas adalah masalah biasa yang dialami oleh wanita mengandung.

Penyelesaian: Sapukan bedak biasa atau bedak tepung jagung selepas mandi untuk mengurangkan rasa panas pada ruam. Elakkan mandi dengan air yang terlalu panas dan pastikan kulit sentiasa sejuk dan kering sepanjang masa.

Tahi lalat dan bintik-bintik
Anda mungkin perasan terdapatnya tahi lalat dan bintik-bintik pada kulit anda. Tahi lalat yang timbul semasa hamil biasanya tiada kaitan dengan barah kulit.

Penyelesaian: Berjumpa dengan doktor sekiranya terlalu banyak tahi lalat yang timbul dan terdapat perubahan saiz dan rupa padanya.

Urat darah kebiru-biruan di kaki
Vena varikos terjadi apabila saluran darah membesar kerana berlakunya peningkatan aliran darah kepada bayi. Walaupun tidak serius, ia boleh menyebabkan rasa tidak selesa dan kesakitan.

Penyelesaian: Elakkan berdiri lama sangat. Sentiasa bersenam atau gunakan sarung kaki yang mampat untuk melancarkan aliran darah di kaki anda.

Mengendali Perubahan Semasa Hamil

Oleh Prof Dr Muhammad Abdul Jamil, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi

Anda akan menghadapi pelbagai perubahan dari segi fizikal and sebagainya sepanjang waktu perhamilan. Perubahan ini akan berlaku secara progesif, agar memberi masa yang lama secukupnya untuk anda bersedia dan menyesuaikan diri kepada perubahan tersebut. Berikut adalah perubahan-perubahan yang boleh dijangka:

 

Perubahan Fizikal

Sistem Penghadaman

Apakah yang sedang berlaku?
Apabila kehamilan semakin berkembang, rahim anda akan membesar untuk menampung bayi yang sedang membesar, dan abdomen anda juga turut mengembang. Rahim anda akan meningkat dari kawasan pubik semasa awal kehamilan sehingga ke bawah sangkar rusuk semasa akhir kehamilan. Semasa ia membesar, organ yang lain seperti pundi kencing, ginjal, diafragma dan usus akan ditekan dan menyebabkan fungsi organ tersebut terjejas. Apabila sudah menghampiri waktu kelahiran, abdomen anda akan melendut dan anda dapat merasakan bayi bergerak ke bahagian pinggul. Keadaaan ini bersama dengan hormon selalunya mengakibatkan loya dan sembelit.

 

Apakah yang boleh dilakukan?

  • LOYA. Berasa loya selalunya tanda awal bagi kehamilan. Keadaan ini boleh bermula dari minggu kelima dan berlarutan sehingga kira-kira minggu kelima belas. Namun begitu, ada kemungkinan bahawa keadaan ini akan kembali lagi pada tahap kehamilan yang lain. Loya boleh berlaku pada bila-bila masa dalam sehari, tetapi kebanyakan wanita merasakan keadaan ini berlaku pada suatu waktu tertentu. Menghidu bau sesetengah makanan atau asap rokok boleh menyebabkan loya dan keadaan ini bertambah teruk apabila keletihan. Untuk mengatasi loya, cuba makan beberapa keping biskut kosong sebelum bangun dari katil pada waktu pagi. Hindarkan diri daripada makanan dan bau yang akan menyebabkan anda berasa loya. Ambillah sajian makanan yang kecil dan kerap sepanjang hari. Minuman halia atau teh “chamomile” boleh membantu melegakan keadaan ini.
   

  • SEMBELIT. Sembelit biasanya berlaku dari awal kehamilan
    sehingga bulan keenam. Ini kerana semasa hamil, hormon progesteron melegakan otot usus yang melambatkan pergerakan isi perut, dan meningkatkan risiko menghadapi sembelit. Anda akan mengeluarkan najis yang keras dan kering dengan kekerapan yang kurang dari biasa. Anda dinasihatkan makan makanan yang berserat tinggi dan minum air yang banyak. Bersenamlah selalu dan pergi ke tandas apabila perlu. Jumpa dengan doktor jika keadaan ini berterusan. Pengambilan suplemen “chamomile”, adas dan halia boleh membantu keadaan ini.
Bimbang Tentang Payudara Kecil?
Saiz payudara tidak menentukan kejayaan menyusu bayi anda. Payudara besar tidak bermakna anda akan mempunyai susu ibu yang lebih, tetapi ia hanya mempunyai lemak yang lebih banyak. Oleh itu, wanita yang payudaranya kecil mempunyai kebolehan yang sama dengan wanita lain untuk menghasilkan susu ibu dan menyusu bayi dengan jayanya.

Payudara

Apakah yang sedang berlaku?

Seawal dua minggu selepas hamil, payudara dan puting akan mula membesar. Kelenjar menghasilkan susu akan membesar akibat aras hormon estrogen dan progesteron yang tinggi. Payudara membesar adalah sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan lemak semasa hamil dan beratnya kira-kira 0.45 hingga 1.36 kg daripada berat keseluruhan badan. Bintik-bintik pada areola mula membesar untuk melembab dan melembutkan kulit. Pada minggu keenam belas kehamilan, kawasan mengelilingi puting akan membesar dan menghitam disebabkan oleh pengaliran darah yang meningkat. Saluran darah dalam kulit juga mungkin bengkak dan lebih kelihatan semasa hamil. Puting anda akan mula mengeluarkan kolostrum apabila menghampiri waktu kelahiran. Payudara anda akan berasa lebih ‘penuh’ dan berat akibat daripada perubahan aras hormon dalam badan. Ia juga mungkin berasa lebih lembut dan sensitif sepanjang kehamilan.

Apakah yang boleh dilakukan?
Bagi menjamin keselesaan buah dada sewaktu hamil, anda dinasihatkan agar memilih coli yang mempunyai lingkaran yang dalam pada bahagian bawah cawan coli,dengan tali lebar yang bersesuaian dengan bahu dan boleh dilaras pada bahagian belakang. Apabila buah dada anda menjadi sangat berat, pakailah coli yang ringan pada waktu malam.

 

Bengkak & Penahanan Air

Apakah yang sedang berlaku?
Apabila menghampiri trimester ketiga kehamilan, anda mungkin mengalami bengkak pada bahagian kaki dan tapak kaki. Sel tisu badan akan menyimpan lebih banyak air dan lebih tertumpu pada bahagian bawah badan. Keadaan ini bertambah buruk apabila anda berdiri untuk jangka waktu yang panjang atau terdedah kepada cuaca panas. Jari anda juga mungkin rasa keras dan bengkak, terutamanya pada waktu pagi.

Apakah yang boleh dilakukan?
Anda boleh mengurangkan bengkak dengan mengangkat kaki sambil baring pada bila-bila masa terutamanya pada hujung hari, dan cuba membuat senaman tapak kaki yang ringan. Jangan berhenti mengambil cecair yang banyak kerana kekurangan cecair dalam badan akan menggalakkan sel menyimpan cecair tersebut dalam badan. Berjumpalah dengan doktor jika bengkak menjadi lebih teruk kerana ia mungkin gejala penyakit pre-eclampsia.

 

 

Ruam

Apakah yang sedang berlaku?

Wanita hamil mungkin mengalami ruam di bahagian bawah payudara atau pangkal paha. Keadaan ini adalah biasa terutamanya dalam cuaca panas dan disebabkan oleh kerengsaan yang diakibatkan oleh peluh kulit yang bersentuhan.

Apakah yang boleh dilakukan?
Anda harus membersih dan mengeringkan kawasan tersebut sekerap mungkin serta melegakan kulit dengan losyen kalamin atau debu tepung jagung. Anda dinasihatkan memakai pakaian kain kapas yang longgar.

Pigmentasi Yang Bertambah Apakah yang sedang berlaku?
Wanita hamil mungkin mengalami “kesan regangan” pada kulit bahagian abdomen, buah dada dan paha. Kesan-kesan akan kelihatan merah jambu dan kemerahan, garis-garis takik dihasilkan oleh sel pigmentasi akibat aras tinggi hormon estrogen dan progesteron. Anda mungkin juga ada garis hitam dari bahagian pusat hingga bulu pubik di bahagian tengah abdomen. Keadaan yang dikenali ‘topeng kehamilan’ juga mungkin berlaku. Pigmentasti gelap berwarna keperangan kelihatan pada muka, kebanyakannya pada kawasan hidung dan pipi, dahi dan leher. Perubahan ini biasanya hilang atau pudar selepas kehamilan. Adalah penting untuk mengetahui bahawa keadaan ini tidak menandakan jangkitan yang berbahaya.

Apakah yang boleh dilakukan?
KESAN REGANGAN.
Sebenarnya, tiada apa-apa yang boleh dilakukan kerana perubahan hormon dalam badan adalah semulajadi. Pigmentasi sepatutnya akan hilang atau pudar selepas bayi anda lahir.

 

TOPENG KEHAMILAN.
Oleh sebab keadaan ini berlaku akibat pendedahan kepada cuaca, anda dinasihatkan menggunakan losyen pelindungan matahari semasa keluar, terutamanya pada empat bulan terakhir kehamilan, apabila pigmentasi menjadi lebih ketara.

Pundi Kencing

Apakah yang sedang berlaku?

Apabila bayi anda bergerak lebih ke bahagian pinggul dan menekan pundi kencing, anda akan lebih kerap membuang air kencing. Hormon progesteron dalam badan akan mengendurkan otot salur kencing, melambatkan penyaluran air kencing. Penambahan saiz rahim turut melambatkan aliran kencing melalui ginjal dan pundi kencing, meninggikan risiko jangkitan pundi kencing dan ginjal.

Apakah yang boleh dilakukan?

Berjumpalah dengan doktor anda jika petanda-petanda jangkitan kelihatan.

 

 

perubahan emosi

Jika ini kehamilan anda yang pertama, anda akan terkejut dengan perubahan emosi yang akan dialami. Emosi anda boleh berubah dari berasa gembira dan seronok pada suatu hari ke sedih serta kecewa pada keesokan harinya.

Kerana hamil
Ada sesetengah wanita berasa kesal atas kehamilan mereka, seterusnya menghadapi kemurungan. Keadaan ini berlaku apabila mereka tidak bersedia atau sudah mengalami keguguran beberapa kali sebelumnya. Jika anda tidak gembira kerana hamil, berkongsilah perasaan dengan suami atau ahli keluarga yang lain. Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat tentang masalah ini.

Kerana perubahan hormon
Perubahan hormon dalam badan adalah faktor penting yang mempengaruhi emosi anda. Aras hormon estrogen, progesteron dan lain yang berubah-ubah boleh menyebabkan kemurungan semasa haid, kehamilan dan putus haid. Perubahan hormon ini juga adalah salah satu penyebab berlakunya kemurungan selepas kelahiran. Anda tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengubah aras hormon di dalam badan. Oleh itu, anda dinasihkatkan mendapat lebih banyak waktu rehat dan berbincang perasaan anda dengan suami supaya berasa lebih baik. Jika perasaan anda berterusan hubungilah doktor anda dan dia mungkin akan merujuk anda kepada seorang penasihat atau pakar psikiatri.

Kerana perubahan semasa hamil

Tekanan emosi akibat perubahan dalam badan kerap dan biasa berlaku di kalangan para ibu. Anda mungkin berasa yang anda menghidap jangkitan penyakit akibat perubahan aras tenaga, tabiat perkumuhan dan pundi kencing dalam badan. Kamu tidak perlu bimbang kerana perubahanperubahan tersebut adalah normal bagi wanita hamil. Lebihkan waktu rehat apabila letih semasa perubahan ini. Adalah penting anda bergantung pada suami, ahli keluarga serta rakan-rakan untuk galakan emosi bagi menangani keadaan ini.

Kerana bimbang
Ia adalah perasaan biasa apabila wanita mahukan yang terbaik untuk bayi mereka. Ini menyebabkan wanita bimbang akan peranan mereka apabila bergelar ibu. Mereka bimbang mereka tidak mempunyai pengetahuan yang luas serta gelisah tidak dapat menjaga bayi dengan cara yang betul. Anda tidak perlu bimbang kerana cara-cara menjaga bayi dapat dipelajari selepas kelahiran. Adalah penting anda mengetahui bahawa tiada satu cara yang tepat untuk menjaga bayi anda.

Kerana rupa paras

Pada trimester pertama, anda mungkin bimbang dengan rupa paras apabila berat bertambah beberapa paun nanti. Akan tetapi, emosi anda akan lebih terganggu ketika trimester kedua apabila anda bertambah berat. Anda mungkin tidak suka akan rupa paras sendiri, atau berasa diri tidak menarik di mata suami dan ini boleh menyebabkan anda berasa hampa dan kecewa terhadap diri sendiri. Luahkanlah perasaan anda kepada suami anda supaya dia dapat memberi keyakinan dan sokongan emosi.

 

Timbang Berat Sebentar!

Penambahan berat badan ketika kehamilan adalah sesuatu yang perlu dirancang dengan
berhati-hati. Jumlah dan kadar penambahan berat badan secara amnya, bergantung
kepada berat dan tinggi semasa anda.

Carta di bawah akan membantu anda merancang berat badan yang akan di ukur
penimbang berat anda:

-
 
Terlalu banyak, terlalu sedikit?

Berat badan yang anda perolehi semasa mengandung akan menjejaskan berat bayi ketika dilahirkan, yang mana akan menentukan status kesihatan semasa dan akan datang bayi berbanding bayi yang kurang berat. Berat kelahiran yang sihat adalah di antara 3-4 kg yang dapat memastikan:

– Kadar kematian bayi yang rendah
– Mengurangkan penyakit kanak-kanak yang serius
– FMengurangkan kecacatan mental dan fizikal
– Kelebihan fizikal dan mental

Home About Positive Parenting Experts Corporate Sponsor Secretariat Contact Us

COPYRIGHT © VersaComm SDN BHD, ALL RIGHT RESERVED. POWERED BY WEBNERGY SOLUTIONS.

Terms Of Use   |   Privacy Policy